SEPANG – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sudah mencapai 64% kemajuan pembinaan setakat bulan lalu bagi keseluruhan jajaran merangkumi Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Selangor.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dengan perkembangan projek yang memberangsangkan, beliau yakin ECRL akan dapat disiapkan mengikut jadual pada Disember 2026 dan beroperasi bermula Januari 2027.
Beliau berkata, projek ECRL sudah memasuki fasa baharu pembinaan sejak tahun lalu yang mana kerja-kerja infrastruktur juga merangkumi pemasangan rasuk jejambat, pemasangan landasan, pembinaan stesen, dan pembinaan depot kereta api.
Katanya, sepanjang 665 kilometer, projek infrastruktur kebangsaan itu merangkumi lebih 1,900 tapak kerja dan hampir 650 sedang aktif dalam pelbagai aktiviti pembinaan.
“Tambahan pula, kerja pengorekan Terowong Berkembar Genting sepanjang 16.39 kilometer dengan kombinasi kaedah “gerudi dan letup” berserta mesin pengorek terowong telahpun mencapai kedalaman melebihi lapan kilometer bagi kedua-dua bahagian terowong.
“Ini bermakna Terowong Berkembar Genting dijangka dapat mencapai penembusan pada suku kedua tahun 2025, sekaligus menjadikannya terowong rel terpanjang di Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Pengangkutan bersama warga Kementerian Pengangkutan (MOT), ECRL dan pihak berkepentingan projek ECRL di sini, hari ini.
Anthony berkata, dengan momentum yang memberangsangkan, kemajuan Projek ECRL tidak lama lagi juga akan melibatkan pembinaan sistem elektrifikasi, semboyan dan telekomunikasi bagi pengoperasian kereta api penumpang dan kargonya.
“Saya difahamkan bahawa kerja pemasangan sistem elektrifikasi untuk kereta api ECRL akan bermula seawal Mei ini di kawasan Stesen Cherating, Pahang dan disusuli dengan lokasi di mana pemasangan landasan telah siap.
“Dengan pencapaian penting ini, saya yakin ECRL ini akan dapat disiapkan mengikut jadual iaitu pada Disember 2026 dan beroperasi bermula Januari 2027 sekali gus menjimatkan masa perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dalam masa empat jam.
“Jadi lagi tiga tahun, Ramadan 2027, rakyat Pantai Timur dah boleh guna ECRL untuk balik raya,” katanya.
Loke berkata, kerja-kerja jambatan projek ECRL juga berjalan dengan lancar dengan pemasangan rasuk jejambat untuk 155 jambatan daripada jumlah keseluruhan 219 jambatan, sudah berjaya disempurnakan setakat Februari lalu.
“Kita sedia maklum reka bentuk jajaran ECRL turut melibatkan jambatan atau laluan bertingkat bagi membantu aliran air semasa hujan lebat serta mengelak risiko berlaku banjir pada musim tengkujuh terutamanya di Pantai Timur.
“Justeru, mesin pemasangan trek model ‘CCPG-500A’ yang canggih serta julung kali diguna pakai dalam industri rel di Malaysia, sudah mula melaksanakan kerja pemasangan landasan ECRL bagi fasa kedua dari Kuantan Port City ke Maran di Pahang sejak 9 Mac lalu.
“Kerja-kerja pemasangan landasan fasa kedua sepanjang 97 kilometer ini dijangka siap pada Jun depan, dan seterusnya membolehkan kerja-kerja pemasangan landasan dijalankan antara Dungun dan Kota Bharu,” katanya. – 2 April, 2024