KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan pada kadar 3.1% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 selepas pelunasan zakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, agihan keuntungan itu melibatkan dana RM2.72 bilion yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit TH, berbanding RM2.65 bilion dengan 8.8 juta pendeposit pada 2022.
“Ia menjadikan jumlah terkumpul agihan keuntungan sejak penubuhan selama 60 tahun TH adalah sebanyak RM42.88 bilion sehingga kini,” katanya pada sidang media hari ini.
Turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Syed Hamadah Syed Othman serta Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan, Mustakim Mohamad.
Na’im berkata, TH turut mengumumkan pelunasan zakat sebanyak RM101 juta kepada semua Majlis Agama Islam negeri-negeri bagi pihak pendeposit untuk 2023.
Katanya, TH berharap pelunasan zakat ini dapat membantu usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara.
Jumlah terkumpul zakat dilunaskan bagi pihak pendeposit itu, ujarnya, adalah RM1.37 bilion sehingga kini.
“Jumlah zakat TH diselaraskan kepada Majlis Agama Islam negeri-negeri berdasarkan nisbah baki simpanan pendeposit mengikut negeri.
“TH menggunakan kadar 2.57% dalam pengiraan zakat TH bagi mengambil kira perbezaan bilangan hari dalam setahun di antara kalendar Qamari dan kalendar Masihi, sebagaimana saranan oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah TH,” katanya.
Abdul Rashid berkata, ini adalah tahun ketiga ekonomi negara melalui proses pemulihan sejak Covid-19 dan TH dapat mengekalkan kadar agihan sama seperti tiga tahun sebelum ini, walaupun terkesan dengan rosot nilai beberapa pelaburan legasi.
Menurutnya, kadar pulangan diberikan selepas zakat itu adalah baik kerana sebagai dana simpanan dijamin kerajaan, TH berhati-hati dalam mengambil risiko pelaburan demi melindungi wang pendeposit.
Pada masa sama, prestasi TH pada 2023 didorong pelaburan patuh syariah di dalam instrumen pendapatan tetap yang menjana 52% daripada jumlah pendapatan keseluruhan, manakala 24% disumbangkan pelaburan ekuiti.
“Pulangan daripada pelaburan hartanah dan pasaran wang juga menyumbang 24% kepada jumlah pendapatan keseluruhan TH,” katanya. – 2 April, 2024