KUALA LUMPUR – Tiada berlaku sebarang perselisihan faham antara Ahlj Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan kepemimpinan Umno di Selangor susulan peletakan jawatannya sebagai Bendahari Umno Selangor hari ini.
Bercakap kepada Scoop, Ahli Jawatankuasa Umno Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, keputusan dibuat Tengku Zafrul dianggap keputusan peribadi dan mungkin mahu menumpukan tugasnya sebagai menteri.
“Sebenarnya peranan bendahari dalam parti tak terlalu penting kalau nak dibanding dengan setiausaha, ketua penerangan atau pengerusi.
“Mungkin disebabkan kesibukan beliau yang kita lihat sekarang ini sering berada di luar negara menarik pelabur untuk melabur dalam negara kita.
“Kalau nak kata ada perselisihan antara beliau dengan pengerusi perhubungan dan juga AJK Umno negeri, itu tidak berlaku sama sekali. Hubungan kami dalam kalangan pimpinan negeri amat baik.
“Saya juga fikir positif tindakan beliau letak jawatan mungkin nak beri laluan kepada pemimpin lain galas jawatan itu,” katanya hari ini.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengumumkan meletak jawatan sebagai Bendahari Umno Selangor berkuat kuasa hari ini.
Beliau berkata, jawatan itu lebih baik diisi individu yang boleh menyumbang dengan lebih efektif.
Katanya, antara sebab keputusan itu diambil berikutan perencanaan untuk kebangkitan parti Umno di Selangor dilihat hambar malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di peringkat Pusat.
Ditanya mengenai dakwaan hubungan hambar antara Umno negeri dan Pusat, Jamal yang juga Ketua Umno Sungai Besar berkata, beliau tidak nampak dakwaan seperti itu berlaku.
“Saya tak nampak dan tak faham kenapa (ada dakwaan) Pusat dan negeri tak sehaluan. Bagi saya selari, memandangkan kerajaan negeri dan Pusat adalah Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Tambah beliau, agenda politik Umno Selangor juga bergantung kebanyakannya kepada perkembangan politik di peringkat Pusat.
“Ini kerana Selangor boleh dikatakan banyak berpengaruh kepada isu semasa di Pusat. Apa yang berlaku di Pusat, ianya memberikan kesan terhadap penerimaan dalam Selangor.
“Saya antara orang lama dalam kalangan ketua bahagian di Selangor, dan saya melihat Pengerusi Perhubungan Negeri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin mengambil langkah proaktif lain daripada yang lain berbanding pengerusi negeri sebelum ini.
“Memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu menyaksikan penolakan pengundi terhadap calon Umno, jadi kami ada strategi lain. Sudah pasti dengan kepemimpinan baharu saya yakin pendekatan dilakukan Datuk Megat mampu memberi kesan,” katanya. – 1 April, 2024