KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara kerajaan.
Menurut beliau, semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak akan menerima RM500 dan bakal disalurkan seawal 5 April ini.
Bagi pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen pula, mereka akan menerima RM250.
Perdana Menteri berkata demikian pada sesi perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.
“Saya sudah maklumkan kepada Perbendaharaan supaya BKK (Bantuan Khas Kewangan) Aidilfitri disalurkan mulai Jumaat ini, 5 April 2024,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Hari Raya Aidilfitri dijangka disambut pada 10 April ini. – 1 April, 2024