Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Pembangunan perkhidmatan kesihatan, sekolah daif di Sarawak perlu diberi perhatian khusus: PM | Scoop

Pembangunan perkhidmatan kesihatan, sekolah daif di Sarawak perlu diberi perhatian khusus: PM

Projek terbabit merupakan inisiatif berimpak tinggi kepada rakyat terutama warga Sarawak di luar bandar yang bakal mendapat manfaat dalam jangka panjang

10:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua kementerian termasuk agensi berkaitan agar memberikan perhatian khusus dan segera bagi memastikan kelancaran perancangan serta pelaksanaan projek di Sarawak secara berkesan.

Menerusi catatan di laman Facebook hari ini, beliau berkata projek terbabit, khususnya pembangunan perkhidmatan kesihatan dan sekolah daif, merupakan inisiatif berimpak tinggi kepada rakyat terutama warga Sarawak di luar bandar yang bakal mendapat manfaat dalam jangka panjang.

Perdana Menteri membangkitkan perkara itu ketika mempengerusikan Taklimat Pembangunan Sarawak dalam lawatan singkat beliau ke Bumi Kenyalang hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata perbincangan lebih sejam itu turut menyentuh pelbagai isu, cabaran, perancangan dan keperluan bagi pembangunan perkhidmatan kesihatan serta sekolah daif di Sarawak.

“Antaranya mengenai kekurangan nisbah perkhidmatan kepakaran perubatan kepada penduduk berbanding purata nasional, kekurangan institusi perubatan khas bagi rawatan kanser, wanita dan kanak-kanak, rehabilitasi, perubatan respiratori, pusat darah dan kepakaran pergigian.

“Malah lima daerah di Sarawak masih tidak mempunyai hospital walaupun penduduk melebihi 30,000 orang serta terdapat pecahan yang signifikan bilangan sekolah yang tiada peruntukan pembangunan,” katanya sambil menambah beliau juga bersetuju agar Kementerian Kesihatan mempercepat proses pembinaan Pusat Kanser Sarawak. – 30 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Related