SHAH ALAM — Lima penjenayah yang ditembak mati di Putra Heights, Selangor, tengah malam tadi dipercayai geng ‘Ninja Van’ yang sudah melakukan lebih 50 kes samun di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam kejadian jam 12.02 tengah malam itu, lima lelaki terbabit yang menaiki Perodua Axia dilhat dalam keadaan mencurigakan.
“Polis bertindak memintas dan mengarahkan kereta diberhentikan. Ketika hendak melakukan pemeriksaan telah berlaku tembak-menembak sebelum pemeriksaan mendapati kelima-lima mereka sudah meninggal dunia.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek, polis menemukan dua pucuk pistol, parang serta pelbagai peralatan untuk samun dan pecah rumah.
“Polis percaya kumpulan ini telah melakukan lebih 50 kes samun kilang, pejabat Ninja Van dan rumah kediaman,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mendedahkan lebih lanjut, Hussein berkata, siasatan mendapati kumpulan samun ganas itu sudah aktif sejak 2022 dan polis percaya kumpulan ini juga lebih daripada lima orang.
“Semua suspek berusia 25 hingga 30 tahun dan ada rekod jenayah lampau, paling kurang tujuh kes dan paling banyak 16 kes. Memang kumpulan ini dicari dan dijejaki polis sejak 2022.
“Setiap kali samun dilakukan mereka memakai topeng muka. Mereka juga licik dan membuat risikan dan intipan di lokasi sasaran sebelum menyamun. Ini kumpulan perompak yang ganas, pada bila-bila masa boleh cederakan mangsa,” katanya.
Tambah Hussein, polis percaya semua suspek tiada pekerjaan tetap selain siasatan lanjut turut dilakukan sama ada pembabitan dengan kongsi gelap.
“Polis percaya mereka ini menetap dalam kawasan sekitar Klang dan menjalankan kerja samun di sekitar daerah itu selain Puchong, Bukit Jalil dan Cheras.
“Kumpulan ini kita gelar geng ‘Ninja Van’ kerana kumpulan ini gemar samun premis Ninja Van, kalau tidak silap ada 16 kes samun pejabat Ninja Van yang mana peti simpanan tunai menjadi sasaran mereka.
“Kemungkinan mereka juga ada orang dalam yang memberikan maklumat, itu masih kita siasat,” katanya. – 30 Mac, 2024