KUALA LUMPUR – Mimbar hari ini menegur umat Islam yang lebih sanggup menghabiskan masa berjam-jam dengan telefon pintar berbanding berusaha membaca al-Quran dan memahami maksudnya.
Menurut teks khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bertajuk ‘Ramadan dan al-Quran’, ramai yang tidak berusaha memahami ayat yang dibaca khususnya surah al-Fatihah dan ayat-ayat lazim.
“Marilah kita berusaha menjadikan bulan Ramadan ini sebagai bulan untuk berinteraksi dengan al-Quran. Kita juga hendaklah berazam untuk mengkhatamkan bacaan al-Quran kita di bulan yang mulia ini.
“Janganlah kita jadikan alasan untuk tidak membaca al-Quran sekiranya kita tidak lancar membacanya kerana ia lebih baik daripada kita meninggalkan terus daripada membaca al-Quran,” kata teks itu.
Menurutnya, khatib turut menasihati diri sendiri dan jemaah sekalian agar menjadikan bulan ini sebagai bulan membaca al-Quran dan memahami ayat-ayatnya.
“Salah satu cara adalah dengan bertadarus al-Quran bersama ahli keluarga atau bertadarus bersama dengan para jemaah di masjid atau di surau dan saling memperbetulkan bacaan,” katanya.
Tambah teks itu, umat Islam hendaklah meyakini bahawa al-Quran merupakan kalam Allah SWT dan satu-satunya mukjizat Nabi Muhammad SAW yang boleh dilihat, dipegang dan diberi pahala kepada yang membacanya.
“Umat Islam hendaklah sentiasa belajar membaca al-Quran dan berusahalah untuk memahami, mengambil pengajaran dan menjadikannya sebagai asas dalam semua aspek kehidupan kita,” katanya.
Sementara itu teks khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertajuk ‘Cahaya al-Quran’ menyeru kepada seluruh umat Islam untuk menguatkan kesungguhan mencari malam al-qadr (malam yang lebih baik dari seribu bulan)
“Lebih-lebih lagi kita yang kini sudah hampir ke sepuluh malam terakhir Ramadan dengan beriktikaf di masjid, qiamullail dan sebagainya.
“Teruslah melazimi membaca al-Quran walaupun setelah berlalunya Ramadan nanti. Tetaplah merenungi maksudnya dan menunaikan segala perintah dan ajaran yang terkandung padanya,’’ katanya. – 29 Mac, 2024