KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari lalu bersetuju memberikan tol percuma selama dua hari kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) iaitu pada 8 dan 9 April sebagai meraikan rakyat Malaysia terutamanya masyarakat beragama Islam yang menyambut Aidilfitri.
Kementerian Kerja Raya dalam kenyataan memberitahu, pendekatan pemberian tol percuma itu adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
Pemberian tol percuma akan dilaksanakan di kesema lebuh raya yang bermula pada jam 12.01 tengah malam, 8 April 2024 (Isnin) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 9 April 2024 (Selasa) di mana kerajaan perlu memperuntukkan bayaran pampasan dengan anggaran berjumlah RM37.60 juta.
“Pengecualian tol akan diberikan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor. Tol percuma oleh Kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia.
Dengan pelaksanaan pemberian tol percuma ini, jumlah kenderaan dijangka meningkat di kesemua jaringan lebuh raya. Bagi pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), pengguna digalakkan untuk merancang perjalanan dengan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) dengan memuat turn aplikasi MyPLUS-TTA.
“Menerusi aplikasi ini, pengguna lebuh raya dapat memilih waktu perjalanan berdasarkan plaza tol masuk dan plaza tol keluar dan memilih waktu perjalanan yang bersesuaian,” katanya.
Kementerian Kerja Raya turut memperkenalkan aplikasi aduan yang dikenali sebagai aplikasi MYJalan KKR berkonsepkan ‘No Wrong Door Policy’ di mana ia menerima sema jenis aduan berkaitan jalan raya seperti kerosakan, infrastruktur, termasuk jalan raya yang bukan di bawah seliaan kementerian.
Katanyam, sebagai satu usaha bagi mengurangkan kesesakan semasa musim perayaan ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 18 lokasi di Lebuhraya PLUS yang melibatkan lokasi kesesakan kritikal untuk menambah kapasiti dan melancarkan aliran trafik. – 28 Mac, 2024