Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Ambil tindakan pihak hasut, cetus ketegangan isu stoking tertera kalimah Allah: Lawyers for Liberty | Scoop

Ambil tindakan pihak hasut, cetus ketegangan isu stoking tertera kalimah Allah: Lawyers for Liberty

Pengarah LFL, Zaid Malek berkata, tindakan itu perlu diambil tanpa mengira sama ada pihak terbabit datang daripada parti politik yang menyokong kerajaan

1:13 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) menggesa tindakan perundangan diambil terhadap pihak yang cuba menghasut masyarakat berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka, KK Mart.

Pengarah LFL, Zaid Malek berkata, tindakan itu perlu diambil tanpa mengira sama ada pihak terbabit datang daripada parti politik yang menyokong kerajaan.

“Semua yang bertanggungjawab mesti berdepan tindakan undang-undang.

“Kesalahan berpotensi dilakukan adalah di bawah Seksyen 505 (b) dan (c) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan yang boleh menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam.

“Ia juga boleh menyebabkan gangguan terhadap ketenteraman awam atau yang menghasut satu komuniti terhadap komuniti yang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Zaid berkata, umum mengetahui individu penting yang bertanggungjawab menimbulkan ketegangan adalah Ketua Pemuda Umno, Dr Muhammad Akmal Saleh.

“Dr Akmal) tidak henti-henti memainkan isu ini meskipun selepas pihak terbabit membuat permohonan maaf terbuka dan tuduhan jenayah juga sudah dikenakan terhadap mereka.

“Mungkin ada lagi pihak lain yang terlibat juga,” katanya.

Tambah beliau, adalah berbahaya untuk membiarkan ahli politik secara tidak berasas meneruskan naratif bahawa Islam sedang diserang.

“Kenyataan seperti ini daripada orang yang mempunyai kedudukan dan pengaruh politik boleh memberi impak meluas terhadap ketenteraman awam,” katanya.

Zaid berkata, di negara ini, terdapat sejarah panjang ahli politik menggunakan isu agama atau perkauman demi kepentingan politik.

“Tidakkah kita semua muak dengannya?

“Adakah kerajaan Madani pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan bertolak ansur dengan perkara ini seperti yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu,” katanya.

Beliau berkata, tindakan mesti diambil untuk mengelak berulangnya insiden serangan bom petrol di kedai KK Mart di Perak minggu lalu, selain menunjukkan bahawa tiada siapapun boleh melangkaui batas undang-undang.

“Negara tidak boleh melepaskan isu ini melainkan mereka yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Semalam, Bukit Aman memberi amaran keras kepada semua pihak supaya berhenti memanaskan isu berkaitan 3R yang merujuk kaum, agama dan raja, khususnya dalam isu terkini membabitkan penjualan stoking kalimah Allah oleh KK Mart.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, turut menyarankan semua pihak supaya ‘stand down’ (kembali bertenang) berikutan tindakan undang-undang dalam isu berkenaan sedang berjalan. – 28 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Related