PUTRAJAYA – Kerajaan menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) bersetuju harga jualan runcit beras putih import (BPI) diturunkan antara RM2 hingga RM3 di pasaran berkuat kuasa esok.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, semua stok semasa padi dan beras yang sudah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan metrik pula dapat diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta- merta.
Katanya, keputusan berkaitan pelarasan harga BPI serta beras putih tempatan (BPT) itu dimuktamadkan melalui mesyuarat Naccol yang berlangsung hari ini.
“Pelbagai langkah intervensi dilaksanakan oleh KPKM bagi menangani isu kekurangan BPT di pasaran susulan pelarasan harga BPI oleh Bernas pada 1 September 2023.
“Sehubungan itu, bagi meningkatkan akses rakyat kepada bekalan beras pada harga yang munasabah, kerajaan melalui Mesyuarat Naccol bersetuju supaya penurunan harga jualan runcit BPI di antara RM2 hingga RM3 di pasaran dilaksanakan berkuat kuasa pada Rabu, 20 Mac 2024.
“Kerajaan optimis inisiatif ini dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup terutamanya semasa Ramadan dan musim perayaan yang bakal menjelang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Mohamad, bagi meningkatkan pengedaran BPT di pasaran, kerajaan memutuskan supaya semua stok semasa padi dan beras yang sudah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan metrik dapat diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta-merta.
“Justeru, KPKM akan meningkatkan penguatkuasaan melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) di seluruh negara.
“Dalam meluaskan jaringan pengedaran BPT, aktiviti Jualan Agro Madani yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan diperluaskan dari segi lokasi dan peningkatan kekerapan program,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut bersetuju agar semua kontrak kerajaan menggunapakai sepenuhnya BPI.
“Sehubungan itu, melalui kaedah ini, bekalan tambahan BPT sebanyak 20,000 tan metrik dapat diedarkan sepenuhnya di pasaran pada April ini,” katanya.
Mohamad berkata, semua langkah tersebut akan dapat meningkatkan ketersediaan bekalan beras kepada rakyat melalui jualan BPI pada harga lebih rendah serta pertambahan BPT di pasaran.
“KPKM juga akan meneruskan perbincangan bersama semua pemegang taruh untuk memperhalusi pelan tindakan jangka panjang bagi struktur kos pengeluaran beras yanglebih realistik.
“Ini untuk memastikan industri padi dan beras adalah mampan terutamanya dalam menjaga kepentingan dan kebajikan pesawah serta meningkatkan produktiviti pengeluaran beras negara.
“Sesungguhnya keputusan ini mencerminkan komitmen utuh kerajaan Madani dalam menjaga kebajikan rakyat dan seterusnya memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara. – 19 Mac, 2024