Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Lif rosak di Blok B, Apartmen Prima: Vendor perlu masa cari alat ganti | Scoop

Lif rosak di Blok B, Apartmen Prima: Vendor perlu masa cari alat ganti

Perbadanan Pengurusan masih belum mendapat satu tarikh bila lif berkenaan akan siap dibaiki

8:00 AM MYT

 

PUTRAJAYA — Perbadanan Pengurusan Apartmen Prima Presint 11 mengakui vendor perlu mengambil masa untuk mencari alat ganti bagi membaiki lif di Blok B, Apartment Prima Presint 11, di sini, yang sering mengalami kerosakan.

Ketika ditemui Scoop, Penyelia Operasinya, Mohd Aizie Zainon, 38, berkata, ini kerana model lif yang digunakan di situ adalah jenis lama dan alat gantinya sukar ditemui di pasaran.

Perbadanan Pengurusan, katanya, bagaimanapun masih belum mendapat satu tarikh bila lif berkenaan akan siap dibaiki.

“Mengenai lif di Blok B memang kita sedia maklum, ia rosak pada 26 Februari lalu dan pada 1 Mac, vendor sudah keluarkan laporan mengatakan ‘main board’ lif itu ada masalah.

“Jadi mereka memerlukan masa untuk cari barang tersebut memandangkan model lif adalah jenis lama dan tidak dikeluarkan lagi. Jadi untuk cari spare part itu, ia agak sedikit makan masa,’’ katanya.

Mohd Aizie Zainon menafikan pihaknya sengaja melambatkan proses penambaikan lif di Blok B, Apartmen Prima Presint 11 – Juliana Johar/19 Mac, 2024

Semalam, penduduk Blok B mendakwa mereka terpaksa berdepan dengan kerosakan lif di situ sejak 10 tahun lalu, hingga menjejaskan aktiviti harian.

Tinjauan Scoop mendapati Apartmen Prima mempunyai tiga blok iaitu A, B dan C dengan setiap blok mempunyai 14 tingkat. Dianggarkan 1,000 orang menetap di setiap blok.

Aizie bagaimanapun menafikan pihaknya sengaja melambatkan proses penambaikan lif di Blok B apartmen berkenaan.

Memahami kesukaran dihadapi penduduk, Aizie bagaimanapun berharap penduduk dapat memberikan sedikit masa agar masalah tersebut dapat diselesaikan sebaiknya.

Menurutnya, pihak pengurusan tidak boleh sewenang-wenangnya membatalkan kontrak vendor yang dilantik berdasarkan tender yang dibuka sebelum ini.

“Kami (pihak pengurusan) pun nak penyelesaian segera dan terbaik. Saya sendiri pun geram kalau lif macam ini (tak berfungsi). Tapi kami tak ada hak (mengawal proses baik pulih lif), kami hanya boleh membantu vendor.

“Saya harap selepas ini penduduk jangan dengar daripada mulut orang, datang berjumpa kami di pejabat jika menghadapi masalah,” katanya. – 19 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Related