Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Lif sering rosak, penduduk Apartmen Prima tiada pilihan kena guna tangga ke tingkat 14 | Scoop

Lif sering rosak, penduduk Apartmen Prima tiada pilihan kena guna tangga ke tingkat 14

Kegagalan memperbaiki lif telah membantutkan perjalanan seharian penduduk

9:00 PM MYT

 

PUTRAJAYA — “Bukan sekali dua tetapi sudah banyak kali lif di apartmen ini tidak berfungsi,’’ demikian luah penduduk di Apartmen Prima Presint 11, di sini, yang terpaksa menanggung keadaan berkenaan sejak 10 tahun lalu.

Masalah berkenaan sering berlaku di Blok B, di mana salah satu daripada dua lif di situ sering mengalami kerosakan.

Tinjauan Scoop mendapati Apartmen Prima mempunyai tiga blok iaitu A,B dan C dengan setiap blok mempunyai 14 tingkat.

Dianggarkan 1,000 orang menetap di setiap blok.

Apartmen Prima mempunyai tiga blok iaitu A,B dan C dengan setiap blok mempunyai 14 tingkat. Dianggarkan 1,000 orang menetap di setiap blok – Juliana Johar/Scoop, 18 Mac, 2024

Salah seorang penduduk, hanya mahu dikenali sebagai Hani, 37, yang menetap di tingkat 7 berkata penduduk di situ sudah lali dengan masalah tersebut hingga terpaksa menggunakan tangga.

“Sebenarnya kami penduduk Blok B dah selalu hadapi lif rosak. Dalam sebulan pasti akan ada kes orang terperangkap sehingga terpaksa panggil bomba untuk selamatkan.

“Untuk kerosakan kali ini, sudah hampir sebulan ia masih tidak digunakan menyebabkan ramai penduduk terpaksa gunakan tangga.

“Saya kasihan pada warga emas dan kanak-kanak yang terpaksa menggunakan tangga ketika waktu orang ramai keluar bekerja, sekolah dan ketika waktu petang,’’ katanya.

Sementara itu, seorang pesara berusia 64 tahun yang menetap di tingkat 8 pula berharap lif itu dapat dibaiki segera bagi memberikan keselesaan kepada penduduk.

Puteri Nurdhia Liyana Megat Sharizal, pula berkata kebiasaannya dia akan menggunakan tangga bagi mengelak sampai lewat ke sekolah – Juliana Johar/Scoop, 18 Mac, 2024

“Setiap hari saya gagahkan diri guna tangga untuk naik dan turun sebab hanya satu lif sahaja yang berfungsi. Pihak pengurusan kata lif akan dibaiki secepat mungkin,’’ katanya yang enggan dikenali.

Manakala Puteri Nurdhia Liyana Megat Sharizal, 14, pula berkata kebiasaannya dia akan menggunakan tangga bagi mengelak sampai lewat ke sekolah.

“Kalau waktu pagi, memang ramai orang dan kasihan melihat orang tua yang terpaksa menggunakan tangga kerana hanya satu lif berfungsi sedangkan ramai yang menunggu untuk menggunakannya.

Scoop sedang berusaha mendapatkan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Terdahulu, seorang penduduk memuat naik video di laman X, mendakwa satu daripada dua lif di Blok B sudah lama ‘tersidai’ tidak berfungsi sejak hampir dua bulan lalu.

Menurutnya, kegagalan memperbaiki lif tersebut telah membantutkan perjalanan seharian penduduk.

Untuk info, Apartmen Prima Presint 11 ini merupakan projek perumahan Prima pertama yang dilancarkan pada 2013 oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – 18 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Related