KUALA LUMPUR — Kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan antarabangsa yang memberi manfaat kepada rakyat, bukannya menimbulkan atau mewujudkan permusuhan dengan mana-mana pihak biarpun dicap sebagai pro-Hamas dan China.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk itu tidak ada sebab Malaysia menimbulkan permusuhan dan beberapa perbezaan pendapat akan dibincangkan dengan baik.
“Banyak negara Barat agak sangsi mengapa nampak kita itu berdamping dengan China. Jawapan saya mudah, kita negara kecil, kita mahu berkembang, kita jaga kemaslahatan rakyat. Pelaburan (itu dilakukan) secara menyeluruh, dari Amerika Syarikat (AS), itu masih nombor satu dan kita tiada masalah, pelaburan dari Amerika datang, kita sambut dengan baik.
“Tetapi negara China ini negara jiran dan kita tiada sebab nak timbulkan permusuhan. Ada beberapa perbezaan pendapat, kita berbincang. Tetapi dalam beberapa hal, sebab pelaburan, sebab kerjasama, hubungannya sangat baik.
“Dan kita ambil pendekatan sama, menggalakkan pelaburan dari timur dan barat, Amerika, China, India, Australia yang akan memberi manfaat kepada kita,” katanya ketika perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Mac di Putrajaya hari ini.
Beliau baru sahaja pulang dari lawatan rasmi di Jerman dan mengadakan pertemuan serta perbincangan bersama Presiden Frank-Walter Steinmeier dan Canselor Olaf Scholz yang menjurus kepada pelaburan, kerjasama dari segi teknikal, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta latihan kejuruteraan.
Anwar berkata, apabila diajukan persoalan mengenai Chinafobia atau Sinofobia dalam sidang media bersama media antarabangsa di luar negara, jawapannya tetap sama iaitu ‘tiada sebab untuk Malaysia mewujudkan permusuhan dan anti kepada mana-mana pihak’.
“Malah dengan AS, sekalipun kita berbeza pendapat, kerana sikap mereka dalam soal perang Israel-Palestin ataupun keganasan dan kezaliman Zionis Israel ke atas bumi Palestin khususnya Gaza, hal itu disuarakan dengan terang.
“Malah dalam pertemuan, sidang media bersama Canselor Jerman, bukan saya nak pilih untuk buat kenyataan-kenyataan yang keras terhadap orang lain, saya lebih baik tumpu perhatian untuk betulkan ekonomi negara kita, struktur negara kita, angkat martabat negara kita, tetapi kalau anak-anak kecil, bayi, wanita, orang tidak bersalah itu dihancurkan tiap hari, maka berdepan dengan Presiden Joe Biden, tentunya saya ambil kekuatan untuk menyatakan sikap pendiriannya.
“Saya kata saya tidak bangkitkan soal dia iktiraf Israel, soal dia sokong Israel, saya kata hentikan kezaliman dan pembunuhan ini segera. Ini apabila beberapa bulan lalu saya berdepan dengan Biden.
“Kemudian di Australia, soal China, mengapa Malaysia pilih untuk mendukung China, saya jawab permasalahan persaingan AS dan China dalam penguasaan teknologi itu adalah masalah mereka. Tetapi apa yang terbaik di Eropah atau China kita rangkul semua, mengapa nak adakan sikap permusuhan?” soalnya.
Beliau kemudiannya menegaskan hubungan Malaysia dan Hamas masih kekal sehingga ke hari ini.
“Dan itu saya katakan di Jerman di mana pola pemikiran dan dasar mereka itu memang menetapkan Hamas itu pengganas. Ini mengundang permusuhan dari luar. Kita tidak memilih untuk bermusuh tetapi kita tidak boleh umpamanya, menggunakan naratif yang mereka gunakan.
“Sampai bulan Ramadan, saya tengok kesengsaraan bayi, wanita dan rakyat di Gaza itu memang sudah luar daripada batas kemanusiaan. Sebab itu bila saya jawab, saya kata, di mana kemanusiaan? Adakah kerana mereka menyokong Israel, kita mengizinkan pembantaian di Gaza? Jadi mereka sebut bersetuju untuk dilakukan genjatan senjata dan tambah bantuan di Palestin,” katanya.
Beliau kemudiannya bernada kesal apabila sebaik sahaja tiba di tanah air selepas ‘berhempas-pulas’ menangani isu keganasan dan pelaburan di peringkat antarabangsa, isu bak kut teh dan isu buka kantin sekolah sepanjang Ramadan yang seolah-olah menjadi isu utama negara. – 18 Mac, 2024