Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Ini bukan perbesarkan isu tapi soal agama, MCA patut tegur KK Mart bukan jadi pembela membabi buta | Scoop

Ini bukan perbesarkan isu tapi soal agama, MCA patut tegur KK Mart bukan jadi pembela membabi buta

“Dakwaan Sin Woon bahawa boikot terhadap KK Mart adalah membabi buta dan semborono menambah sakit hati pengguna umat Islam

3:11 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi menegaskan MCA sepatutnya menegur tindakan KK Mart menjual stoking tertera kalimah Allah, bukannya mempertahankan kedai serbaneka itu secara membabi buta.

Menurutnya, kenyataan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon yang meminta supaya isu itu tidak diperbesarkan dilihat seolah-olah cuba memandai-mandai menjadi pembela kepada KK Mart sedangkan ia sebenarnya isu besar dan melukakan hati umat Islam.

“Ini bukan membesar-besarkan isu. Ini soal agama. Ia menghina umat Islam. Umat Islam pelanggan utama KK Mart.

“Dakwaan Sin Woon bahawa boikot terhadap KK Mart adalah membabi buta dan semborono menambah sakit hati pengguna umat Islam.

“Apa maksud Sin Woon bahawa tindakan boikot itu menyebabkan negara jadi mangsa? Mana lebih berat jika berlaku huru hara berbanding boikot,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Jelas beliau, tindakan KK Mart itu juga seolah-olah tidak menghormati kuasa pembeli umat Islam.

“Sekurang kurangnya tidak ada kedai KK Mart dibakar seperti apa yang berlaku di negara lain jika sensitiviti agama tidak dijaga.

“Sepatutnya MCA menegur KK Mart dan bukannya jadi pembela membabi buta kepada KK Mart. Hormati kuasa pembeli umat Islam,” katanya.

Semalam, Sin Woon dilaporkan meminta Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh supaya tidak memperbesarkan isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart.

Katanya, Dr Akmal juga tidak sepatutnya membuat gesaan supaya umat Islam memboikot kedai serbaneka berkenaan yang hanya akan merugikan negara.

Ia susulan tindakan Dr Akmal yang dilaporkan menggerakkan Pemuda Umno di seluruh negara supaya membuat laporan polis berhubung isu berkenaan.

Dr Akmal turut menggesa KK Mart supaya mengemukakan permohonan maaf di kesemua premis perniagaannya selain menggesa supaya orang ramai memboikot perniagaan kedai serbaneka itu.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial stoking kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Bagaimanapun, pada Rabu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) memohon maaf berhubung video dan gambar tular berkaitan penjualan stoking tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Susulan itu, syarikat tersebut menghentikan jualan stoking berkenaan berkuatkuasa serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Pengendali rakaian kedai serbaneka itu turut meminta supaya tidak memboikot perniagaan mereka.

Hari ini, Scoop melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima 36 laporan berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, satu kertas siasatan telah dibuka berkaitan laporan bertarikh 14 Mac lalu di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, walaupun permohonan maaf telah dikemukakan oleh pihak KK Mart dan vendor-vendor terlibat, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneruskan siasatan bagi menangani isu yang mencetuskan kegemparan serta kegusaran awam itu. – 18 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Related