KUALA LUMPUR – Hutan Broga, yang menjadi tumpuan orang ramai untuk aktiviti rekreasi dilaporkan terbakar, petang tadi, dengan anggaran kawasan yang terlibat adalah 0.8 hektar.
Kawasan yang terlibat ialah hutan di atas puncak 1 Bukit Broga.
Menurut Komander Operasi Bomba dari Balai Bomba Semenyih, Zairol Azli Ramli, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.39 malam tadi.
Susulan itu, sepasukan enam anggota Bomba dan sebuah jentera telah dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kebakaran membabitkan kawasan hutan di atas puncak Bukit Broga.
“Tiada mangsa dilaporkan dalam kebakaran ini,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memberitahu, kerja memadamkan kebakaran kini sedang dijalankan dan punca kebakaran belum diketahui.
Terdahulu tular video mengenai api yang marak di Bukit Broga, dan dirakamkan oleh penduduk berhampiran.
Bukit Broga merupakan kawasan yang popular dengan aktiviti pendakian dan menjadi tumpuan ramai setiap kali hujung minggu. – 17 Mac, 2024