Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Bukan hidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin, cuma ada keraian: Penduduk kampung | Scoop

Bukan hidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin, cuma ada keraian: Penduduk kampung

Perhimpunan yang sering dilihat adalah majlis keraikan anjuran ahli keluarga Ayah Pin, terbaharu perkahwinan anaknya bulan lalu

8:52 PM MYT

 

JERTIH – Penduduk di Kampung Batu 13 di Hulu Besut dekat sini menafikan dakwaan terdapat usaha menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad di perkampungan itu seperti yang tular di media sosial.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Rosli, 50, berkata, sebaliknya perhimpunan yang sering dilihat itu adalah majlis keramaian dan kenduri-kendara yang dianjurkan oleh ahli keluarga dan saudara-mara Ayah Pin termasuk yang terbaharu majlis perkahwinan anak Ayah Pin bulan lalu.

“Saya terkejut apabila tiba-tiba sejak beberapa hari kebelakangan ini kecoh kononnya ajaran Ayah Pin cuba dihidupkan semula. Sebagai penduduk yang tinggal berdekatan, saya tidak nampak ada aktiviti mencurigakan di penempatan yang dihuni oleh lebih 100 penduduk ini.

“Cuma baru-baru ini (Februari lepas) memang ada majlis kenduri perkahwinan anak Ayah Pin dan ramai saudara mereka datang termasuk saya turut dijemput. Ahli keluarga Ayah Pin yang tinggal di sini selalu buat majlis keramaian termasuk sambutan hari jadi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu 13, Ab Ghani Mamat juga mengesahkan tidak melihat sebarang aktiviti mencurigakan dalam tempoh terdekat.

Keadaan lengang di penempatan bekas ‘Kerajaan Langit’, cuma baru-baru ini berlangsung majlis perkahwinan anak Ayah Pin yang dihadiri ramai sanak saudara. – Gambar Bernama, 17 Mac, 2024

“Saya tak nampak apa-apa pelik sehari dua ini dan pihak berkuasa memang sentiasa pantau penempatan berkenaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan ada cubaan pihak tertentu menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin yang pernah menggemparkan negara dengan ‘Kerajaan Langit’.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika dihubungi Bernama semalam berkata, perkara itu dalam makluman kerajaan negeri dan sedang dalam tindakan pihak berwajib.

Terdahulu, sebuah hantaran di akaun Facebook ‘Imam Muda Kulan’ mendakwa ajaran Ayah Pin cuba dihidupkan kembali oleh gerakan pihak-pihak tertentu di sekitar Besut.

Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan diwartakan haram pada 1997.

Pada April 2016, Ayah Pin meninggal dunia pada usia 74 tahun di rumahnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Besut kerana sakit tua. – 17 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Related