KUALA LUMPUR – Bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, Siti Dhia Batrisyia yang masih gagal dikesan tidak dapat tidur sejak tiga hari lalu memikirkan keberadaan anak sulungnya itu.
Bercakap kepada Scoop ketika tinjauan ke kediaman keluarga kanak-kanak itu di Flat Sri Selangor dekat Jalan San Peng di sini hari ini, Mohd Chairil Anuar berkata, dia sudah mencari Dhia di beberapa kawasan berhampiran tetapi pencariannya hampa.
Katanya, pencarian dilakukan di sekitar Jalan Kenanga, Jalan Hang Tuah dan Bukit Bintang berdasarkan maklumat daripada rakan Dhia.
“Saya mencarinya, memang tak cukup tidur jugalah. Ada kawan-kawan dia kata mungkin dia pergi ke Ampang, Pandan Perdana, ada kata dekat Taman Dagang.
“Saya pun tidak pasti (keberadaannya), tetapi saya masih mencarinya sampai sekarang,” katanya.
Chairil bagaimanapun yakin Dhia masih berada di sekitar ibu negara, cuma enggan pulang ke rumah.
Tambahnya, dia seorang yang tegas dan mungkin itu punca Dhia tidak pulang ke rumah kerana takut dimarahinya gara-gara tidak pergi ke sekolah.
“Memang dia takut dengan saya sebab mak dia kata akan sampaikan dekat saya tentang dia tak pergi sekolah.
“Saya memang tegas sikit dengan anak. Tapi setakat ini, saya tak adalah naik tangan, cuma marah mulut saja,” katanya.
Semalam, Scoop melaporkan Dhia dilaporkan hilang sejak Selasa lalu apabila tidak pulang ke rumahnya selepas dikatakan berselisih faham dengan ibunya pada petang hari kejadian.
Ketika dihubungi Scoop, ibu kanak-kanak itu, Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili, 41, berkata, kali terakhir dia bersama anak sulungnya itu adalah di kediaman mereka pada kira-kira jam 4 petang.
Menurutnya, berlaku perselisihan faham antara mereka selepas dia menerima WhatsApp daripada guru sekolah Dhia yang memaklumkan anaknya itu tidak hadir ke sekolah.
Selepas Dhia pulang ke rumah pada waktu petang hari kejadian, katanya, dia bertanya mengapa anaknya tidak ke sekolah dan ke mana, sebelum dimaklumkan dia membeli hadiah untuk melakukan kejutan sempena ulang tahun perkahwinan Syarifah Rosfazila dan suami.
Mengulas lanjut, Chairil berkata, isterinya, Syarifah Rosfazila tidak lalu makan ketika berbuka puasa sejak kehilangan Dhia.
“Saya cuma nak dia (pulang) jumpa ibu dia. Saya tidak akan marah. Kasihan pada ibu dia. Saya nak dia makan… sihat, itu sahaja,” katanya.
Sementara itu, Chairil mendedahkan, berdasarkan maklumat daripada rakan Dhia yang tinggal di blok berlainan, anaknya itu mungkin melarikan diri dengan teman lelakinya yang sudah bekerja.
Lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu tidak menolak andaian tersebut kerana keadaan fizikal anaknya kelihatan lebih matang daripada usianya.
“Kawan-kawan dia beritahu dia ada boyfriend (teman lelaki) dah. Dia hilang, baru (mereka) buka ceritalah.
“Mereka (kawan Dhia) kata boyfriend dia sudah bekerja. Anak saya kalau ikut keadaan fizikal memang orang tak percaya umur. Dia nampak lebih matang macam umur 15, 17 tahun,” katanya.
Katanya lagi, Dhia pernah hilang sekali sebelum ini kerana merajuk tetapi pulang semula ke rumah sebelum Maghrib.
“Tapi saya tak nak ambil pusing komen negatif orang ramai mengenai tindakan anak saya itu. Orang nak cakap apa, biarlah. Tapi saya tahu anak saya jenis macam mana,” katanya. – 16 Mac 2024