KUALA LUMPUR – Insiden seorang warga emas atau dikenali sebagai pak cik berbaju biru yang terjatuh terlentang selepas kerusi digunakan untuk solat di sebuah masjid dialihkan seorang kanak-kanak dalam video yang tular, bukan berlaku ketika solat tarawih.
Anaknya yang dikenali sebagai Khairul Amzar berkata, kejadian itu berlaku ketika solat Isyak pada Ahad lalu (10 Mac).
“Kejadian berlaku pada waktu Isyak, 29 Syaaban 1445H yang lalu. Bukan video lama, video recycle (kitar semula), video sunting, dan lain-lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pemuda itu tampil memberi penjelasan berhubung perkara itu memandangkan ada beberapa maklumat tidak tepat seperti didakwa netizen berkaitan insiden menimpa bapanya.
Beliau berkata, bapanya berdepan kesukaran untuk bersujud dan duduk antara dua sujud akibat masalah lututnya.
“Kedudukan kerusi dan pak cik baju biru berada pada posisi yang betul mengikut hukum dan garis panduan syarak. Pak cik baju biru masih boleh berdiri, cuma tidak boleh sujud dan duduk di antara dua sujud akibat masalah pada lututnya.
“Pak cik baju biru itu ada ilmunya. Kalau ada yang pertikaikan, sila mengaji semula bab ini. Malah, pak cik baju biru juga tetap meneruskan solat walaupun selepas terjatuh.
“Pak cik baju biru bukan datang lambat. Beliau berjemaah di masjid setiap waktu setiap hari,” katanya.
Mengulas mengenai keadaan bapanya, Khairul berkata, bapanya yang juga ahli jawatankuasa masjid mengalami kecederaan di badan, tangan dan bahu akibat terjatuh.
“Bahunya bengkak, tangannya tidak boleh diangkat, tidak boleh makan dengan sempurna, juga mengalami demam dan muntah-muntah.
“Namun hasil pemeriksaan X-ray, tiada kecederaan serius dilaporkan doktor. Kesihatan pak cik baju biru juga beransur pulih dan dapat meneruskan ibadah seperti biasa. Syukur Alhamdulillah,” katanya.
Bagaimanapun, Khairul berkata, bapanya enggan memanjangkan isu berkenaan lebih-lebih lagi ia dilakukan seorang anak kecil.
“Bapa kepada kanak-kanak itu datang meminta maaf. Pak cik baju biru hanya berkata, “Biasalah tu budak-budak”. Tiada amarah dan dendam dilemparkan.
“Sebenarnya pak cik baju biru seorang yang pendiam dan sangat penyabar. Susah nak jumpa manusia yang sesabar pak cik baju biru,” katanya.
Tambah Khairul lagi, bapanya sudah berpesan agar video kamera litar tertutup (CCTV) di masjid tersebut tidak dimuat naik dan dikongsi umum walaupun sebagai pengajaran.
“Namun, zaman maklumat di hujung jari kini, dalam masa sesaat boleh sampai ke mana sahaja. Tindakan ini amat sukar dielak,” katanya.
Rata-rata netizen menyelar ibu dan bapa kanak-kanak tersebut kerana tidak mengawasi pergerakan anak mereka sehingga mendatangkan kesusahan kepada jemaah lain.
Susulan insiden itu, orang ramai menyarankan agar anak-anak kecil tidak perlu dibawa ke masjid untuk mengelak insiden sama berulang.
Sementara itu, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat dua keadaan dalam hukum syarak membawa kanak-kanak ke masjid.
Bagi keadaan pertama, jika kanak-kanak itu sudah mumayyiz (dapat membezakan baik dan buruk sesuatu perkara), sunat membawa mereka untuk mengimarahkan masjid dengan mendirikan solat berjemaah.
Namun, sekiranya kanak-kanak yang belum mumayyiz dan tidak dapat berdikari melakukan solat, ibu bapa berperanan memastikan anak-anak mereka tidak mengganggu jemaah lain yang sedang melakukan ibadah.
Malah katanya, adalah baik jika pihak masjid dapat menyediakan inisiatif dan fasiliti bersesuaian untuk ibu bapa yang mempunyai anak kecil supaya tidak megganggu perjalanan ibadah solat di masjid.
“Namun ibu bapa juga hendaklah mengambil tanggungjawab dalam memastikan anak-anak mereka tidak mengganggu jemaah lain yang sedang solat.
“Awasilah mereka dengan penuh sopan-santun agar dapat mendidik mereka dengan penuh kasih sayang,” katanya. – 16 Mac, 2024