KUALA LUMPUR – Rangkaian makanan segera McDonald’s di Malaysia tidak terjejas meskipun restoran tersebut di seluruh Asia terjejas akibat gangguan sistem.
Ia menyebabkan pelanggan tidak dapat membuat pesanan sama ada menerusi aplikasi di telefon bimbit atau kiosk elektronik di dalam restoran itu sendiri.
Syarikat berkenaan memuatnaik kegagalan sistem berkenaan di X, memaklumkan operasinya di Jepun terjejas dan tertunda untuk sementara waktu.
Menurut laman web McDonald’s Jepun, rangkaian makanan segera itu mempunyai kira-kira 3,000 cawangan di negara tersebut.
Turut terjejas adalah di China, menyebabkan pengguna menggunakan Weibo untuk melepaskan perasaan dengan hashtag “McDonald’s tidak berfungsi” mula mendapat perhatian pada kira-kira pukul 2.00 petang tadi.
Sementara pembeli di Hong Kong pula menjadikan Facebook sebagai sasaran melepaskan kemarahan.
Pesanan melalui telefon bimbit dan kiosk layan diri juga tidak berfungsi di Hong Kong, namun ia kembali normal.
Sementara perkhidmatan di Korea Selatan turut tertangguh disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan.
Keadaan turut melanda Australia, Filipina, Taiwan, Singapura dan New Zealand.
Dalam pada itu, jurucakap McDonald’s berkata pihaknya mengambil maklum mengenai hal tersebut hingga menjejaskan restoran.
“Isu ini telah diselesaikan. Kami menghargai pelanggan di atas kesabaran mereka dan memohon maaf di atas kesulitan yang dialami. Untuk maklumkan, isu ini tidak berkaitan dengan isu keselamatan siber.’’ – 15 Mac, 2024