Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
'Kos barang meningkat, kami terpaksa naikkan harga': Peniaga bazar Ramadan | Scoop

‘Kos barang meningkat, kami terpaksa naikkan harga’: Peniaga bazar Ramadan

Peniaga berkata, rata-rata pelanggan memahami kenapa mereka menaikkan harga jualan

9:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Rata-rata peniaga di bazar Ramadan mengakui terpaksa menaikkan harga jualan sehingga RM1 susulan kenaikan kos barang mentah.

Namun menerusi tinjauan Scoop di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampung Baru, ada peniaga yang enggan menaikkan harga kerana ingin mengekalkan pelanggan sedia ada.

Peniaga martabak, Hanif Ruslan, 28, berkata, walaupun berat untuk dirinya menaikkan harga dari RM4 ke RM4.50 pada tahun ini, namun dia bersyukur kerana pelanggan tetapnya memahami perkara tersebut.

Walaupun berat bagi peniaga martabak, Hanif Ruslan menaikkan harga pada tahun ini, namun dia bersyukur kerana pelanggan tetapnya memahami. – Gambar Alif Omar/Scoop, 13 Mac, 2024

“Pelanggan memahami kenapa kami naikkan harga, harga barang (kos mentah) naik.

“Martabak ayam dan daging kami jual tahun ini berharga RM4.50. Istimewanya martabak kami resipi turun-temurun dari keluarga dan sudah berniaga martabak sama sejak 34 tahun lalu,” katanya.

Peniaga bihun sup utara, Usman Isa, 61, pula berkata, dia terpaksa menaikkan harga jualan dari RM7 ke RM8 tahun ini.

Peniaga bihun sup utara, Usman Isa mengakui tahun ini dia terpaksa menaikkan harga jualan dari RM7 ke RM8. – Gambar Alif Omar/Scoop, 13 Mac, 2024

Menurutnya perkara itu tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan kos barang mentah turut dirasai peniaga.

“Tahun ini saya terpaksa naikkan RM1 namun mujur pelanggan memahami.

“Kebiasaannya jualan di bazar Ramadan selalunya laris sekali ganda berbanding hari-hari biasa ketika saya berniaga di pasar Taman Sri Rampai.

“Mungkin hari-hari biasa orang tak pandang sangat (bihun sup), tapi bila puasa, rasanya lain sikit,” katanya berseloroh.

Sementara itu peniaga asam pedas claypot, Mukmin Simunir, 24, berkata, dia tidak menaikkan harga pada produk jualannya bagi mengekalkan pelanggan sedia ada.

Menurutnya, walaupun tidak menaikkan harga namun dia tetap mampu meraih sedikit keuntungan daripada hasil jualan.

Malah Mukmin berkata, dia yakin dengan strategi memasak fresh di hadapan pelanggan mampu menarik perhatian lebih ramai pelanggan.

Peniaga asam pedas claypot, Mukmin Simunir lebih selesa untuk tidak menaikkan harga produk jualannya bagi mengekalkan pelanggan sedia ada. – Gambar Alif Omar/Scoop, 13 Mac, 2024

“Saya masih mengekalkan harga sama seperti tahun lepas.

“Keuntungan tetap ada dan keunikan memasak ketika pelanggan melakukan pesanan merupakan antara ‘pelaris’ gerai ini,” katanya yang sudah empat tahun berniaga di sini.

Asam pedas dijual pada harga RM12 hingga RM23 bagi asam pedas kepala ikan.

Tahun ini, sebanyak 192 gerai beroperasi di bazar yang tertua di ibu kota ini. – 13 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Related