KUALA LUMPUR – Setiap ahli politik tidak sepatutnya memanipulasi fakta dan undang-undang sedia ada, termasuk berkaitan ‘Imuniti Parlimen’, bagi mengaburi mata rakyat serta mewujudkan persepsi buruk terhadap fungsi dan peranan agensi penguatkuasa negara.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, hakikatnya, apa-apa perkara dibangkitkan berkaitan isu rasuah membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak, demi menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya sebagai agensi utama yang memerangi salah laku itu.
Malah, katanya, merujuk kepada keistimewaan semasa berbahas dalam sidang Dewan Rakyat dan Imuniti Parlimen sepertimana digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Keistimewaan Parlimen perkara 63 (1), (2) dan (3), kelebihan itu sebenarnya adalah berkaitan dengan imuniti terhadap prosiding di dalam mahkamah.
“Perkara 63 (2) menyatakan dengan jelasnya bahawa tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua dikatakan atau apa-apa undi diberikan olehnya, semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya.
“Pada pandangan kami, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki hanya memberi kenyataan meminta Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk membuat aduan atau laporan kepada SPRM, sekiranya benar dia ditawarkan rasuah.
“Kenyataan (Azam) ini tidak melibatkan apa-apa prosiding mahkamah, maka ia tidak termasuk dalam keistimewaan Ahli Parlimen mendapat perlindungan Imuniti Parlimen,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada pandangan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa SPRM tidak perlu masuk campur berhubung dakwaan Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor mengenai tawaran rasuah diterimanya.
Menurut Hamzah, Ahli Parlimen memiliki imuniti daripada pendakwaan dan keistimewaan semasa berucap atau berbahas dalam sidang Dewan Rakyat, justeru Wan Saiful sebagai seorang wakil rakyat mempunyai hak untuk menentukan bilakah beliau mahu melaporkan perkara itu kepada SPRM tanpa didesak.
Jais berkata, apabila Wan Saiful menyebut di Dewan Rakyat mengenai dakwaan rasuah ditawar kepada beliau itu, maka menjadi tanggungjawab beliau sendiri untuk membuat laporan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.
“Dalam hal ini, SPRM boleh bertindak secara pro-aktif untuk berjumpa dan mengambil butiran atau maklumat berkenaan secara berjumpa terus dengan mana-mana individu,” katanya.
Justeru, beliau berkata, menjadi tanggungjawab kepada mana-mana individu yang ditawarkan rasuah untuk segera membuat laporan berlandaskan undang-undang di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.
“Seksyen 25 (1) berkaitan kewajipan untuk melaporkan transaksi penyogokan, jelas menyatakan mana-mana orang diberi, dijanjikan atau ditawarkan apa-apa suapan dengan melanggar mana-mana peruntukan akta ini, hendaklah melaporkan perkara itu kepada pegawai SPRM atau pegawai polis.
“Seperti mana peruntukan Akta SPRM 2009, iaitu di bawah Seksyen 7 (a), pegawai suruhanjaya mempunyai fungsi menerima dan menimbangkan apa-apa aduan mengenai perlakuan kesalahan rasuah dan menyiasat mana-mana aduan itu, sebagaimana difikirkan praktik oleh Ketua Pesuruhjaya,” katanya. – 12 Mac, 2024