KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberi jaminan bahawa Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu dilancarkan pada 20 Februari lalu tidak akan digunakan oleh kerajaan untuk menyekat kebebasan media.
Menurutnya, setakat ini, tiada seorang wartawan ditangkap atau diheret ke mahkamah berhubung pelaporan dibuat mereka.
“Saya beri jaminan, Alhamdulillah sejak saya memegang portfolio ini, tidak ada seorang pun wartawan yang ditangkap, diheret ke mahkamah atau disoalsiasat setakat ini kerana membuat pelaporan atau menerbitkan berita yang menceritakan mengenai skandal, tidak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang memintanya memberi jaminan bahawa Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu itu tidak akan mengekang pemberita atau sebarang laporan berbentuk pembongkaran skandal.
Jelas Fahmi, beliau sentiasa berpegang kepada prinsip reformasi dan tidak akan menghalang hak bersuara khususnya kebebasan media dalam membuat pelaporan mereka.
“Sukacita saya sebutkan di sini, suatu ketika dulu saya juga antara Ahli Parlimen yang memperjuangkan nasib wartawan. Saya pernah dicemuh dalam dewan ini kerana mempertahankan hak wartawan dalam membuat pelaporan.
“Saya ingat lagi waktu itu, saya diserang bertubi-tubi dan ingin saya jelaskan, sebagai sorang yang demokrat dan berpegang kepada prinsip reformasi, saya dan juga pentadbiran ini tidak berhasrat untuk mengekang hak bersuara khususnya, kebebasan media membuat pelaporan,” katanya.
Beliau berkata, kebebasan media itu menjadi teras utama yang bukan sahaja disokong tetapi dimakmurkan lagi kerajaan ketika ini.
“Maka, sekali lagi saya sebutkan, kad perakuan media tidak halang daripada membuat pelaporan, menulis berita.
“Clare Rewcastle-Brown (Editor Sarawak Report) tidak mempunyai kad perakuan media tapi beliau boleh menulis. Sesiapa sahaja di luar sana, boleh menulis,” katanya.
Tegasnya lagi, kad perakuan media bukan kad akreditasi sebaliknya dokumen untuk memudah cara kehadiran wartawan untuk menghadiri majlis rasmi kerajaan.
“Kad perakuan media bukan seperti ‘being called to the bar’ atau mendapat perakuan. Ia bukan akreditasi… bukan. Ia dokumen memudahcara kehadiran wartawan untuk datang ke acara rasmi khususnya bagi kerajaan,” katanya.
Pada 7 Mac lalu, tempoh sah laku Kad Perakuan Media (KPM) Jabatan Penerangan (JaPen) bagi pengamal media antarabangsa dinaikkan kepada dua tahun berkuat kuasa serta-merta.
Kemas kini tempoh sah laku itu antara penyelarasan dilaksanakan JaPen berbanding setahun bagi pengamal media antarabangsa warga tempatan.
Bagi pengamal media antarabangsa bukan rakyat Malaysia dan dalam lawatan jangka panjang pula, tempoh sah laku KPM ditetapkan setahun.
Sementara itu, bagi pengamal media rasmi kerajaan, media tempatan termasuk media dalam talian, tempoh sah laku KPM adalah dua tahun.
Bagaimanapun, tempoh sah laku KPM bagi pengamal media yang mempunyai kontrak secara tahunan dengan organisasi media, ditetapkan selama setahun.
“Selain itu, pengamal media dalam talian yang baru mendaftar dengan JaPen, tempoh sah laku KPM ditetapkan selama enam bulan,” katanya.
Penyelarasan itu turut mengambil kira dokumen Kod Etika Wartawan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang telah dikemas kini baru-baru ini. – 12 Mac, 2024