Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Remaja maut, rakan parah motosikal dinaiki terbabas di Jambatan Pulau Pinang | Scoop

Remaja maut, rakan parah motosikal dinaiki terbabas di Jambatan Pulau Pinang

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat, manakala remaja perempuan itu dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut

11:11 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki maut, manakala rakan perempuannya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 4.38 petang.

Menurutnya, kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan teruk di kedua-dua laluan di Jambatan Pulau Pinang.

“Siasatan awal mendapati motosikal dinaiki mangsa dan pembonceng iaitu remaja perempuan berusia 15 tahun dipercayai terbabas ketika tiba di lokasi kejadian sebelum melanggar tembok pembahagi jalan.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa terpelanting ke laluan bertentangan dan sebuah kereta dari arah Perai ke Georgetown dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar mereka, menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi, manakala rakan perempuannya parah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Helmi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat, manakala remaja perempuan itu dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang melihat kemalangan itu diminta tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan atau menghubungi cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di talian 04-5301342,” katanya. – 10 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Related