Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Fahmi akan jumpa KPM bincang larangan pemilikan akaun media sosial bawah 13 tahun | Scoop

Fahmi akan jumpa KPM bincang larangan pemilikan akaun media sosial bawah 13 tahun

Ibu bapa dan penjaga digesa memantau akaun media sosial anak-anak, terutama bawah 13 tahun kerana mereka mudah terpengaruh untuk mengikut trend tertentu

1:27 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi akan bertemu Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat bagi membincangkan keperluan meningkatkan kesedaran dan larangan pemilikan akaun media sosial kepada kanak-kanak bawah 13 tahun.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, isu keselamatan dalam talian terutama untuk kanak-kanak bawah 13 tahun mesti dipertingkatkan berikutan wujudnya akaun media sosial yang melanggar garis panduan platform.

“Isu ini telah dibangkitkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan pelbagai platform media sosial dan kerjasama diperlukan daripada MCMC dan kerajaan.

“Susulan ini, saya menggesa ibu bapa memantau akaun media sosial anak-anak, terutama bawah 13 tahun kerana mereka mungkin mudah mengikut trend tertentu.

“Saya juga bercadang untuk membincangkan perkara ini lebih lanjut dengan Kementerian Pendidikan dan meneroka usaha bersama mereka dalam masa terdekat, mungkin dalam satu atau dua minggu ini,” katanya kepada media selepas program Back To School bersama MCMC dan Shopee di PPR Seri Pantai di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Bahagian Koordinasi Negeri MCMC, Bukhari Yahya dan Pengarah MCMC Wilayah Persekutuan, Hanita Izam Abdul Rahman.

Seramai 200 penerima di kalangan komuniti Lembah Pantai menerima baucer persekolahan bernilai RM100.

Ditanya sama ada kementeriannya akan mengemukakan garis panduan tetap kepada Kementerian Pendidikan mengenai penggunaan akaun media sosial untuk kanak-kanak bawah 13 tahun, Fahmi berkata tumpuan pada masa ini adalah kepada kempen kesedaran.

“Kami berharap dapat mencadangkan kempen kesedaran, libat urus dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pengendali platform media sosial.

“Ini termasuk inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan kanak-kanak supaya mereka memahami risiko penggunaan media sosial di peringkat awal.

“Kami juga berhasrat membincangkan dan mencari penyelesaian untuk jangka panjang dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyerahkan bantuan persekolahan kepada 200 komuniti Lembah Pantai dalam program MCMC bersama Shopee hari ini. – Riduan Ahmad/Scoop, 9 Mac, 2024

Pada masa yang sama, beliau juga berkata, langkah tambahan perlu diambil oleh platform media sosial untuk memastikan keselamatan dalam talian kanak-kanak dilindungi.

Tambah beliau, walaupun platform media sosial bergantung pada peraturan kendiri atau tetapan ibu bapa untuk keselamatan, peraturan sedemikian mungkin tidak mencukupi.

“Pengesahan umur untuk pendaftaran akaun baharu memerlukan penambahbaikan dan walaupun platform berbeza mempunyai cabaran berbeza, namun TikTok kerap disebut hari ini.

“Saya menghargai usaha TikTok tetapi lebih banyak perlu dilakukan untuk keselamatan.

“Saya juga bimbang tentang kemungkinan penyalahgunaan pemesejan dalam talian untuk menyebar pornografi, pedofilia, dadah dan perjudian dalam talian (untuk kanak-kanak ini),” katanya.

Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi mencadangkan untuk diadakan kempen kesedaran, libat urus dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta pengendali platform media sosial. – Riduan Ahmad/Scoop, 9 Mac, 2024

Selain itu Fahmi turut memaklumkan beliau telah mengadakan pertemuan bersama pihak Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) di Parlimen minggu lalu bagi membincangkan kempen kesedaran kepada guru, ibu bapa dan pelajar berhubung keselamatan dalam talian.

“Justeru, saya berharap perkara ini dapat dilaksanakan bersama (bersama Unicef) serta Kementerian Pendidikan melalui perbincangan yang akan diadakan nanti,” katanya. – 9 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Related