KUALA LUMPUR – Ucapan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan pencen penjawat awam semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam bersifat jahil dan mengelirukan orang ramai.
Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dakwaan kononnya Kerajaan Persekutuan akan mengurangkan atau menghentikan pencen tidak tepat kerana cadangan untuk menyemak semula faedah persaraan baharu penjawat awam tidak menyentuh kakitangan sedia ada.
Menurut beliau, hakikatnya, cadangan kerajaan adalah untuk menyemak semula saraan semua penjawat awam sedia ada dan mengkaji opsyen pengambilan penjawat awam baharu dengan faedah persaraan baharu seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggantikan skim pencen sedia ada.
“Sebagai seorang yang mempunyai ilmu agama, Hadi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan jahil sebegini yang tidak memberi gambaran sebenar cadangan Kerajaan Persekutuan.
“Malah pada masa yang sama kenyataaannya bertentangan dengan tindakan kerajaan Kelantan dan institusi PAS sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Kabinet dilaporkan bersetuju untuk menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, status pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas, namun golongan yang baharu dilantik kelak perlu membuat caruman menerusi KWSP.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketika ini sedang menerajui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) yang akan menjadi dasar baharu kerajaan khususnya berkaitan kaedah berpencen penjawat awam.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, ucapan Hadi cuba memberi gambaran bahawa caruman KWSP adalah tidak Islamik, sedangkan ia juga suatu perlindungan persaraan.
“Adakah Hadi tidak tahu KWSP memiliki pilihan simpanan syariah yang diuruskan dan dilaburkan mengikut prinsip syariah?
“Untuk memastikan prinsip-prinsip syariah dipatuhi, suatu rangka kerja tadbir urus syariah diwujudkan untuk mentadbir urus aspek pematuhan syariah bagi simpanan syariah pencarum,” katanya.
Nik Nazmi berkata, cadangan menggantikan sistem pencen dengan caruman KWSP juga pernah diumumkan oleh agensi kerajaan Kelantan iaitu Yayasan Islam Kelantan (YIK) pada 2022 yang dinamakan Skim Jawatan Tetap Bercarum.
“Mengapa ketika YIK mengumumkan cadangan ini, tiada bantahan daripada PAS?” soalnya.
Sementara itu, beliau berkata, PAS sepatutnya memiliki tanggungjawab moral untuk memastikan kebajikan guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) terjaga susulan dakwaan guru terbabit tidak memiliki pelan persaraan termasuk KWSP, selain dibayar di bawah paras gaji minimum RM1,500.
“Setiap kali isu ini dibangkitkan, mereka akan mengatakan guru-guru Pasti bukan bekerja tetapi bersifat sukarelawan.
“Soalan saya, selepas 30 tahun beroperasi, bukankah PAS memiliki tanggungjawab moral untuk memastikan kebajikan guru-guru Pasti terjaga?” soalnya. – 7 Mac, 2024