Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Pendakwah terkenal tarik diri jadi penasihat syariah syarikat suami Heliza Helmi | Scoop

Pendakwah terkenal tarik diri jadi penasihat syariah syarikat suami Heliza Helmi

Keputusan itu dibuat susulan masyarakat mempersoalkan penglibatannya bersama syarikat yang diletak dalam senarai amaran pelaburan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

11:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Pendakwah terkenal, Prof Madya Datuk Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim mengumumkan menarik diri sebagai penasihat syariah kepada syarikat milik usahawan, Mahadi Badrul Zaman iaitu AUF MBZ Consortium Plt, berkuat kuasa serta-merta.

Mohd Izhar berkata, keputusan itu dibuat susulan isu tular membabitkan syarikat milik suami kepada selebriti Heliza Helmi itu hingga mencetuskan persoalan masyarakat mengenai penglibatannya dalam syarikat tersebut.

“Assalamualaikum, isu yang tular kebelakangan ini melibatkan saya dan menjadi persoalan kepada masyarakat berhubung Mahadi Badiuzaman dan syarikat miliknya iaitu AUF MBZ.

“Maka dengan ini, saya dengan prinsip dan tegas menarik diri dan tidak lagi menjadi penasihat syariah kepada syarikat AUF MBZ berkuat kuasa serta-merta.

“Segala persoalan syariah boleh berhubung terus dengan panel syariah di bawah SC (Suruhanjaya Sekuriti Malaysia) seperti Amanie, Tawafuq dan Salihin Advisory yang dilantik,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial nama Mahadi dimasukkan dalam senarai amaran pelaburan oleh SC.

Berdasarkan laman web Investor Alert List mendapati nama ahli perniagaan terbabit dan syarikatnya berada dalam senarai teratas.

Laman itu mengemas kini senarai aktiviti pelaburan secara tidak sah sama ada melalui entiti mahupun individu.

Menurut kenyataan di senarai itu, individu dan syarikat milik Mahadi menjalankan aktiviti pasaran modal tidak berlesen untuk berurus niaga dalam sekuriti berhubung dengan pemasaran saham Syarikat Awam Tidak Tersenarai.

Malah sebelum ini juga, seorang pelakon wanita mendakwa Mahadi menipunya apabila syarikat Mahadi dikatakan gagal menyiapkan rumah yang dibelinya, sejak lima tahun lalu.

Aktres tersebut mendakwa perlu membayar ansuran bulanan sebanyak RM5,000 tetapi premis yang dijanjikan siap tahun lalu itu masih tidak nampak bayangnya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Ahad lalu menyerahkan siasatan kepada SC membabitkan syarikat pelaburan milik Mahadi yang disahkan tidak mempunyai lesen sah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya selari dengan suruhanjaya terbabit bahawa syarikat berkenaan tiada mempunyai lesen untuk menjalankan aktiviti pelaburan tersebut. – 6 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Related