KUALA LUMPUR – Pelancaran projek Sistem Latihan dan Pengujian Memandu secara Elektronik (e-Testing), membuktikan kerajaan tidak takut melakukan perubahan dan menggunakan pendekatan baharu dalam pengurusan lesen memandu negara.
Bercakap kepada Scoop, pakar pengangkutan, Rosli Azad Khan berkata, projek itu juga membuktikan kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yakin dengan peranan teknologi terkini dalam membantu meningkatkan kecekapan pemanduan.
Katanya, langkah efisien dilaksanakan itu, bakal memberi manfaat besar kepada sistem pentadbiran dan pengurusan lesen memandu, dengan menjadikannya lebih teratur serta efisien.
“Perubahan dilaksanakan itu diharap dapat dilakukan dalam masa terdekat melibatkan semua insitut memandu (IM), tidak hanya tertumpu kepada kawasan bandar sahaja.
“Saya bersetuju dengan e-Testing sebab ia antara langkah efisien yang diambil MOT dan JPJ, cuma buat permulaannya, tidak banyak lokasi boleh menyumbang ke atas pelaksanaannya.
“E-Testing ini boleh diluaskan ke kawasan luar bandar juga kerana ia dapat meluaskan penggunaan di seluruh negara, tanpa perlu menunggu sehingga tempoh enam tahun tempoh pelaksanaan sepenuhnya seperti diberikan MOT,” katanya.
Malah, Rosli turut menasihatkan masyarakat agar dapat menerima perubahan cuba dilakukan supaya bidang berkenaan mampu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi masa kini.
“Tentunya dengan pengenalan sistem ini, ia menjadikan pentadbiran dan pengurusan lesen memandu lebih selaras serta sistematik di seluruh negara.
“Jadi, adalah perlu juga bagi masyarakat menerima perubahan dan pendekatan baru ini serta mesti berubah mengikut arus,” katanya.
Memberikan nada serupa, Pakar Jurutera Perunding Mekanikal dan Kenderaan Bertauliah, Datuk Foong Choy Chye bersetuju dengan pelancaran e-Testing kerana ia dijamin dapat mengurangkan interaksi sesama manusia ketika ujian berlangsung.
Menurutnya, ia adalah ‘open secret’ apabila terdapat segelintir calon pemandu yang kadang-kala cuba memberikan ‘rasuah’ kepada pegawai penguji dalam usaha untuk meluluskannya.
Justeru, beliau berkata, dengan adanya e-Testing, sistem itu secara tidak langsung akan menghapuskan gejala terbabit.
“Saya bersetuju e-Testing ini dilaksanakan sebab sekarang pegawai penguji tidak lagi berada dalam satu kereta bersama calon, hanya menilai menerusi kamera yang dipasang menerusi bilik kawalan.
“IM juga dapat menapis betul-betul calon dirasakan sudah cukup berani dan yakin untuk mengambil ujian memandu, sekali gus dapat melahirkan generasi bebas ‘lesen terbang’,” katanya.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, e-Testing akan menawarkan pelbagai kelebihan kepada calon dan IM bagi meningkatkan integriti proses penilaian.
Menurutnya, prestasi calon ujian memandu dapat diukur menggunakan alat sensor dan kamera dengan keputusan akan dijana secara masa nyata.
Katanya, ia sekali gus membolehkan calon menjalani ujian tanpa pegawai JPJ di dalam kenderaan.
“Sistem ini akan mengurangkan campur tangan manusia, supaya IM hanya akan mengeluarkan pemandu benar-benar berhemah.
“Kita nak membudayakan integriti dalam proses perlesenan kita. Tiada lagi istilah lesen ‘pau’ atau lesen ‘guarantee’,” katanya.
Setakat ini tiga IM bersedia melaksanakan e-Testing, iaitu Institut Memandu Surfine Hitech di Hulu Langat, Selangor; Pusat Latihan Memandu Berjaya Bhd di Ulu Tiram, Johor serta Institut Lima Bintang Abadi Sdn Bhd di Pulau Pinang. – 7 Mac, 2024