KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari diminta tampil memberi penjelasan berhubung laporan beliau menyokong kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jika dakwaan itu benar, Perikatan Nasional (PN) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan dilakukan Abdul Rashid.
“Ini satu tindakan yang khianat dan tidak bertanggungjawab kepada mandat yang diberikan oleh rakyat.
“Saya cadangkan sekiranya beliau tidak terbabit, Alhamdulillah tetapi tampillah untuk memberikan penjelasan kerana ini sudah menimbulkan kemarahan dan keresahan rakyat khususnya pengundi di Selat Klang
“Maka untuk berlaku adil kepada Yang Berhormat Selat Klang, saya mencadangkan supaya beliau tampil menafikan perkara itu,” katanya pada sidang media semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan media mengenai dakwaan Adun Selat bahawa surat sokongan itu tidak dikeluarkannya.
Pada masa sama, Azmin yang juga Ketua Pembangkang Selangor menegaskan laporan sebuah portal yang mendakwa lima Adun Bersatu negeri itu menyokong kepimpinan Amirudin adalah palsu.
Terdahulu, sebuah portal berita mendakwa selain Abdul Rashid, lima Adun yang akan turut menyokong Amirudin adalah Adun Jeram, Datuk Harrison Hassan; Adun Batang Kali, Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani; Adun Sungai Kandis, Wan Dzahanurin Ahmad dan Adun Morib, Rosnizan Ahmad.
“Palsu, ini laporan palsu. Fitnah. Tidak benar ini semua. Rakyat penat, rakyat mahu kami berikan khidmat yang terbaik kepada mereka dan itu yang kami lakukan.
“Saya percaya anda boleh lihat bagaimana kami menggunakan setiap ruang dalam Dewan untuk membawa suara rakyat. Ini adalah komitmen dan kesungguhan kita.
“Tapi kalau ada isu seperti ini pastinya kita uruskan dengan bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Azmin turut menyebut nama kelima-lima Adun dinamakan portal terbabit dalam sidang media tersebut.
Bagaimanapun, media melaporkan kelibat Abdul Rashid tidak kelihatan bersama pimpinan Bersatu terbabit.– 6 Mac 2024