Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Prestasi kewangan tidak cantik pada 2022: Audit kemuka syor tambah baik tunai PR1MA | Scoop

Prestasi kewangan tidak cantik pada 2022: Audit kemuka syor tambah baik tunai PR1MA

Syor itu bagi menambah baik tunai dan kesetaraan tunai PR1MA supaya kukuh

11:37 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Prestasi kewangan ‘tidak cantik’ ditunjukkan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) pada 2022 menyaksikan pihak Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan tahun berkenaan mengesyorkan dua pendekatan.

Menurut pihak berkenaan, syor itu bagi menambah baik tunai dan kesetaraan tunai PR1MA supaya kukuh.

“Syor ini, pertama, (PR1MA) menilai semula strategi pembangunan projek perumahan dan komersial berdasarkan keperluan serta pasaran semasa, bagi memastikan kebolehpasaran penjualan unit rumah dan komersial yang sudah siap serta mencapai objektif pembangunan projeknya.

“Kedua, memastikan unjuran aliran tunai daripada hasil penjualan unit rumah dan komersial boleh dicapai, bagi membiayai aktiviti operasi serta pelunasan pembayaran Sukuk Tranche 2 berjumlah RM1.750 bilion yang akan matang pada Oktober 2024,” katanya.

Syor itu dinyatakan menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2022.

Katanya, pihak audit turut menerima maklum balas daripada PR1MA pada 22 Januari 2024.

Menerusi maklum balas itu, ujarnya, PR1MA memaklumkan beberapa pendekatan untuk mengatasi dan memulihkan prestasi kewangan agensi berkenaan, antaranya ia sudah merangka Lapan Teras Pembangunan Strategik, dengan membangunkan projek perumahan melalui kerjasama strategik serta pembangunan atas tanah sedia ada sudah dikenal pasti akan memberi pulangan tinggi di masa hadapan.

“Sejak Program Transformation and Turnaround (T&T) dimulakan pada 2019, PR1MA mengubah strategi daripada model bina dan jual kepada model jual dan bina.

“Melalui rundingan semula dengan pihak pemaju, PR1MA menandatangani Perjanjian Tambahan (Supplementary Agreement), dengan memasukkan syarat bahawa pihak rakan pemaju bertanggungjawab melaksanakan penjualan rumah,” katanya.

Pada masa sama, ujarnya, PR1MA sudah melaksanakan beberapa program dan siri jualan bagi memastikan unit perumahan dibangunkannya, dapat dijual kepada pembeli sasaran, berasaskan kajian pasaran merangkumi kehendak semasa, kemampuan pembelian, lokasi serta penyediaan fasiliti dan pusat riadah.

Setakat Disember 2023, katanya, PR1MA menjual sebanyak 42,851 unit rumah.

Pihak audit dimaklumkan, bagi memberi tumpuan untuk menyiapkan projek sedia ada seperti dirancang dan diarahkan kementerian, PR1MA perlu menyusun semula strategi penggunaan dana bagi mengutamakan komitmen sedia ada, selain terpaksa menangguhkan bayaran balik sebahagian pinjaman Sukuk Tranche 2 terbabit.

“Sehubungan itu, PR1MA memohon penangguhan bayaran balik prinsipal sukuk dengan jaminan kerajaan berjumlah RM1 bilion dan pada 2 Januari lalu, pihak Kementerian Kewangan (MoF) meluluskan permohonan penangguhan tersebut,” katanya.

Diletakkan di bawah Kementerian Perumahann dan Kerajaan Tempatan, PR1MA diwartakan pada 19 Disember 2012 di bawah Akta Perumahan Rakyat 1Malaysia 2012 [Akta 739].

Fungsi utama PR1MA antaranya adalah merancang, membangun, membina dan menawarkan perumahan berkualiti tinggi berkonsepkan gaya hidup moden, bagi penduduk bandar berpendapatan sederhana. – 6 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Related