KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pempengaruh yang memuatnaik kandungan klip video di media sosial yang menunjukkan dia bersesak-sesak untuk mencium Hajar Aswad terus mendapat kritikan ramai terutama golongan agama.
Mereka menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya dicontohi ramai.
Antara yang membidas perbuatan tersebut ialah pendakwah bebas, Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang khuatir perbuatan itu sudah lari daripada niat untuk mendapatkan pahala.
Bercakap kepada Scoop, Ridhuan berkata, syarat sah umrah bukannya mencium Hajar Aswad malah perbuatan bersesak-sesak untuk melakukannya hanya akan mengundang dosa.
“Syarat sah umrah bukan cium Hajar Aswad, kita bimbang niat kita baik dan ikhlas tapi nanti kita pergi buat habis duit saja, tak dapat pahala, dapat dosa sahaja.
“Bila nak buat umrah atau haji kita kena ikhlaskan hati dan jika tidak dapat cium tak mengapa, sebab ia bukanlah syarat sah umrah atau pun haji.
“Sampai bertolak-tolak, berebut-rebut dan kemudian sampai terbang kain umrah… ia jadi tidak sah (tidak sah ibadah umrah jika kain ihram terbuka),” katanya.
Beliau mengulas mengenai perbuatan seorang pempengaruh dan usahawan tempatan yang memuatnaik video di Instagramnya yang menunjukkan dia bersesak-sesak dan menarik kumpulan jemaah terdiri daripada kakitangannya untuk mencium Hajar Aswad.
Justeru, Ridhuan menasihati pempengaruh berkenaan serta umat Islam agar sentiasa memudahkan dan menyenangkan urusan orang lain kerana Tuhan pasti akan memberikan kelebihan pahala di atas kebaikan yang dilakukan.
“Saya harapkan pempengaruh ini belajarlah, tuntutlah ilmu. Kalau buat sesuatu sebab nak glamor, tunjuk pada orang, ia tidak akan datangkan manfaat pada kita,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan, Kamilin Jamilin menerusi perkongsian video di laman Instagram miliknya pula menegur perlakuan sesetengah individu yang gemar mempertontonkan ibadah dan menjadikan ia sebagai salah satu daripada kandungan media sosial masing-masing.
Sebaliknya, menurut Kamilin, urusan berkaitan amal ibadat haruslah disembunyikan daripada menjadi tatapan orang ramai.
“Apalah punya mengarut tengok konten-konten perangai orang kita time tawaf buat konten. Ada pula tunjuk berebut-rebut atau sanggup berkasar dengan orang lain demi nak cium Hajar Aswad.
“Apa-apa pun benda di dunia ini, silalah berkonten (buat kandungan media sosial) asalkan tidak bercanggah dengan syarak… (tetapi) hal ibadah biar antara kita dengan Allah (sahaja).
“Tawaf itu wajib tapi menyakiti orang lain itu haram, bukan syarat sah tawaf cium Hajar Aswad ni. Tak perlu tunjuk gagah bila orang perempuan kita berasak-asak dengan lelaki lain. Kalau nampak sesak cukup lambai sahaja, itu sunnah Nabi ajar,” katanya.
Dalam pada itu, pengacara dan penceramah motivasi, Amin Idris pula berkata, beliau tidak ‘berkenan’ dengan tindakan mana-mana pihak yang suka merakam gambar atau video ketika beribadah.
“Perlu ke buat content, perlu ke buat video? Bila kita pergi ke Madinah, Mekah, fokuslah betul-betul.
“Tak payahlah sibuk buat content, video bagai. Kalau ibadah berbelah bahagi, kita gagal menerapkan tarbiah haji dan umrah dalam diri kita.
“Akhirnya bila pulang ke tanah air, kita gagal berubah jadi orang lebih baik sebab bila pergi Mekah, Madinah kita tidak all out sepenuh hati,” katanya. – 5 Mac, 2024