KUALA LUMPUR – Kementerian Luar memaklumkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas setakat ini dalam insiden letupan bom di Kafe Rameshwaram di Bengaluru, India semalam.
Perkara itu dimaklumkan melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai kepada kementerian berkenaan.
Bagaimanapun, Kementerian Luar berkata, pihak konsulat itu sedang mengikuti laporan berkaitan letupan insiden terbabit.
“Dilaporkan sekurang-kurangnya lapan orang, termasuk tiga kakitangan kafe dan seorang pelanggan, cedera dalam letupan yang berlaku kira-kira jam 1 tengah hari waktu tempatan.
“Menurut pihak berkuasa tempatan, tiada rakyat Malaysia, khususnya pelajar Malaysia, terjejas dalam insiden letupan bom tersebut.
“Pelajar dilaporkan sedang menghadiri kuliah di kampus mereka pada masa itu,” katanya menerusi kenyataan.
Pada masa sama, Kementerian Luar menggesa semua rakyat Malaysia di Bengaluru untuk sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai perkara itu.
“Mereka digesa mengambil langkah berjaga-jaga, mematuhi amaran perjalanan dari pihak berkuasa tempatan dan mengelakkan tempat sesak kerana siasatan berkaitan insiden masih berterusan.
“Rakyat Malaysia (di sana) yang memerlukan bantuan konsulat boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai menerusi alamat No. 7 (Old No. 3) 1 st Street, Cenotaph Road Teynampet, Chennai 600 018 Tamil Nadu, India atau menghubungi 0091 44 2433 4434/35/36,” katanya.
Semalam, media antarabangsa melaporkan, letupan itu berlaku ketika orang ramai, termasuk pekerja pejabat sekitar kawasan terbabit beratur di kafe berkenaan untuk makan tengah hari.
Katanya, punca letupan masih belum diketahui dan ia sedang dalam siasatan pihak berkuasa. – 2 Mac, 2024.