Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Jangan perbesar isu, cari penterjemah jika tidak faham maksud bak kut teh: King Sing | Scoop

Jangan perbesar isu, cari penterjemah jika tidak faham maksud bak kut teh: King Sing

Katanya, ini respons terakhir beliau berhubung isu terbabit kerana tidak mahu membuang masa membahaskan perkara remeh seperti itu

9:02 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan tindakan Pemuda Umno secara berterusan mempersoalkan status bak kut teh yang diiktiraf sebagai antara Warisan Negara, hanya memalukan parti itu sendiri.

Mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa ‘bak’ bermaksud daging secara umum dan bukan hanya merujuk kepada daging babi, Tiong berkata, sekiranya menggunakan ayam ia dipanggil ‘geh bak’, manakala ‘du bak’ adalah daging babi serta ‘gu bak’ daging lembu.

“Jika anda tidak tahu perbezaannya atau memahami dialek Hokkien, cari seseorang yang sanggup mengajar dan menterjemahkannya untuk anda,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Ini bukan kali pertama menteri berkenaan menjelaskan mengenai maksud nama hidangan popular itu.

Tiong berkata, Jawatankuasa Per Nasional PAS Pusat sendiri memperkenalkan bak kut teh bakar halal yang dimasak bersama kambing dan ayam di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Selangor.

“(Setiausaha Agung Pas) Datuk Seri Takiyuddin Hassan pernah kata dia boleh layan kawan-kawan media makan bak kut teh halal. Tidak ada isu besar mengenai perkara ini.

“Siapa ekstremis? Fikirkan mengenainya. Biarlah rakyat menentukan siapa yang memupuk perpaduan dan siapa tidak,” katanya.

Tiong juga berkata penjelasan ini adalah respons terakhirnya berhubung isu berkenaan sambil menambah beliau tidak mahu membuang masa membahaskan perkara remeh seperti itu.

Pada Khamis, beliau menggesa Pemuda Umno berhenti mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan menunjukkan rasa hormat.

Pada 28 Februari lalu, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menggesa Tiong meletak jawatan dengan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyingkirkan pemimpin itu berhubung keputusan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, mengiktiraf bak kut teh sebagai makanan warisan negara.

Minggu lalu, suruhanjaya warisan kementerian itu menyenaraikan bak kut teh, kuih lapis, kuih karas, mi kolok Sarawak, uttapam, dodol kukus tahi minyak dan nasi ambeng sebagai warisan Malaysia.

Tahun lalu, Tiong memberitahu bekas Menteri Pelancongan yang juga mantan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim penjelasan sama mengenai bak kut teh, iaitu ia bukan eksklusif mengenai hidangan babi, selepas Rais meluahkan kebimbangan berhubung cadangan menamakan sajian itu sebagai makanan warisan negara. – 2 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Related