KUALA LUMPUR – Tuduhan tanpa kehadiran menjadi pilihan akhir Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendakwa menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan.
Bagaimanapun Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yakin Adlan masih boleh dikesan dan masih boleh balik ke Malaysia.
Namun setakat ini, SPRM masih belum dapat mengesan keberadaan menantu Presiden Bersatu itu di luar negara.
Ketika ini, katanya, SPRM telah berhubung dengan pihak berkuasa antarabangsa untuk mengesannya.
“Ia (tuduhan tanpa kehadiran) boleh dibuat tetapi itu merupakan pilihan terakhir kerana saya percaya dia boleh dikesan atau masih boleh balik Malaysia untuk menghadapi pertuduhan,’’ katanya kepada media ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NACS 1) 2021 di sini hari ini.
Tahun lepas, SPRM sedang mengesan Adlan dan Mansoor Saat, seorang peguam, pengarah dan pemegang saham NERS Sdn Bhd, untuk membantu siasatan dalam kes rasuah berkaitan pendaftaran, pemerolehan dan penyimpanan data biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
Pada 9 Ogos lalu, Adlan melalui peguamnya berkata, beliau pasti akan pulang ke Malaysia secepat mungkin untuk menjawab semua soalan dan membantu SPRM dalam sebarang siasatan, selagi unsur ugutan dan penganiayaan terhadapnya dihapuskan.
Mansoor juga menyangkal dakwaan melarikan diri dan berkata dia meninggalkan Malaysia secara sah atas urusan perniagaan dan telah bekerjasama dengan SPRM, yang mengetahui keberadaannya. – 29 Februari, 2024