KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Grab Holdings Inc (Grab), Anthony Tan, yang merupakan usahawan kelahiran Malaysia dan berjaya mengasaskan syarikat teknologi yang disenaraikan di Bursa Saham Nasdaq, Amerika Syarikat.
Dalam pertemuan pagi tadi, Perdana Menteri berkata, Grab kini mempunyai modal pasaran sebanyak USD12.34 bilion.
“Dalam pertemuan ini saya telah dibentangkan potensi pelaburan oleh Grab di Malaysia.
“Ini terkait dengan perniagaan seperti Grab dan Jaya Grocer. Selain itu, pengoperasian GX Bank dijangka melibatkan pelaburan sebanyak RM1.5 bilion untuk tempoh 5 tahun akan datang,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Turut serta dalam pertemuan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, mereka juga membincangkan bagaimana Grab dapat berkembang dengan model perniagaan yang turut membantu masyarakat dan perniagaan Malaysia dalam meningkatkan peluang menjana pendapatan.
“Semoga kecekalan saudara Anthony menjadi pendorong kepada anak-anak Malaysia lain terutamanya yang berminat menceburi bidang keusahawan teknologi,’’ katanya. – 28 Februari, 2024