KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan menerima dokumen berkaitan susur galur seorang lelaki warga Algeria dikenali sebagai Mawla Mohamed Amin al-Hassani yang mendakwa keturunan Nabi Muhammad.
Penafian itu susulan kenyataan pihak Nur Al Mustafa Malaysia, selaku penganjur program Mawla di negara ini dalam sidang media yang diadakan berhubung nasab ‘Mawla Amin’.
Penganjur terbabit mendakwa mereka sudah mengemukakan bukti dokumen berkaitan kepada pihak Jakim.
“Susulan kenyataan yang dibuat oleh pihak Nur Al Mustafa Malaysia dalam sidang media yang diadakan berhubung nasab ‘Mawla Amin’ yang memaklumkan bahawa pihak mereka sudah mengemukakan bukti dokumen berkaitan kepada pihak Jakim, dimaklumkan bahawa Jakim tidak menerima sebarang dokumen sebagaimana yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau kegiatan ‘Mawla Amin’ selepas seorang mudir sebuah madrasah di Selangor didakwa aktif mempromosi lelaki berkenaan.
Malah mudir itu turut mengutip dana awam secara tidak sah selain cuba mewujudkan satu penempatan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.
Susulan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM sedang memantau pergerakan Mawla Amin dan pengikutnya termasuk madrasah itu yang beroperasi di Selangor.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut memaklumkan polis akan bekerjasama dengan pihak agama negeri bagi memantau kegiatan lelaki berkenaan.
Beliau turut mengesahkan individu berkenaan sering keluar masuk ke negara ini menggunakan pas sosial dan berada di negara ini selama 90 hari.
Katanya, mengikut rekod, dia adalah warga Algeria dan menggunakan pasport perjalanan Perancis.
Baru-baru ini, tular kembali video memaparkan Mawla Amin sedang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dipercayai dirakam pada November tahun lalu.
Dalam video berdurasi lebih seminit itu, lelaki terbabit dilihat bertegur sapa dengan pengikutnya sebelum bergerak ke balai pelepasan.
Mawla turut mengucapkan ‘Assalamualaikum’ kepada pengikutnya dan memohon mereka mendoakannya sebelum melaungkan takbir ‘Allahu Akbar’. – 27 Februari, 2024