KUALA LUMPUR — Kerajaan Arab Saudi memberi amaran akan mengenakan hukuman berat kepada mereka yang mengerjakan haji tanpa permit.
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menekankan, jemaah haji yang melaksanakan haji tanpa permit adalah salah dan boleh didenda sebanyak SAR50,000 (RM63,763), demikian lapor Gulf News.
Sebagai tambahan, katanya, individu yang ditangkap membawa jemaah tanpa permit juga akan dikenakan denda sehingga SAR50,000.
“Denda yang ketat itu diperkenalkan bagi memastikan kelancaran musim haji 2024 ini,’’ lapor media berkenaan.
Sementara bagi warga asing yang didapati bersalah melanggar peraturan tersebut akan dipenjarakan selama enam bulan dan diusir dari negara berkenaan.
“Mereka akan dilarang memasuki semula Arab Saudi selama 10 tahun,” katanya.
Ia akan dilaksanakan dengan kerjasama Direktorat Am Pasport Arab Saudi dan bakal memberikan impak yang teruk bagi mereka yang didapati melanggar peraturan haji.
Arab Saudi mula mengenakan hukuman tegas bagi kesalahan operasi haji tanpa permit sejak tahun 2013. – 25 Februari, 2024