KUALA LUMPUR — Pertukaran jawatan Ketua Pengarah Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM), Datuk Ammar Abd Ghapar dilaksanakan di bawah subseksyen 10 (1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481) dibaca bersama Seskyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388).
Sambil menjelaskan pertukaran itu dijalankan mengikut peraturan serta proses sedia ada, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan sekali lagi ia tiada kena mengenai dengan isu perkauman.
Menurut King Sing, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) adalah keutamaan dalam penilaian prestasi dan hanya kumpulan ekstremis yang gemar menjadikan ia sebagai isu perkauman.
“Tidak kira seseorang itu menganuti agama atau bangsa apa sekali pun, jika bagus kita puji,’’ katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
King Sing sebelum ini menafikan Ammar dipecat sebaliknya diturunkan pangkat daripada Ketua Pengarah kepada Timbalan Ketua Pengarah.
Menurut King Sing, beliau mengambil maklum mengenai kekecewaan Ammar dan menasihatkannya supaya muhasabah diri kerana terbukti beliau gagal menjalankan tanggungjawab yang diberikan bagi membawa Tourism Malaysia ke tahap yang lebih tinggi meskipun sudah berkhidmat selama 36 tahun.
King Sing memberi contoh mengenai usaha membawa masuk pelancong ke Malaysia di mana sasaran kemasukan lima juta pelancong dari China, tidak dicapai.
“Beliau menyatakan hanya mampu membawa masuk 3 juta pelancong namun akhirnya hanya mampu membawa 1.6 juta pelancong malah terdapat juga aduan pelbagai pihak yang mendakwa sukar berurusan dengan KP Tourism Malaysia dan pegawai, sekali gus membantutkan usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi pelancongan Malaysia,’’ katanya.
Malah, kata King Sing, Ammar dilihat tidak mempunyai perancangan konstruktif, tiada produk pelancongan baharu serta tidak libat urus secara efektif dan berterusan dengan industri termasuk kerajaan-kerajaan negeri seluruh negara.
King Sing berkata, apa guna memiliki pengalaman atau kelayakan akademik seperti Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pelancongan tetapi tidak menunjukkan prestasi baik apatah lagi sudah setahun nasihat diberikan supaya menambah baik mutu perkhidmatan.
“Beliau diberikan peluang kerana memiliki PhD dalam bidang pelancongan namun khidmat yang diberikannya tidak setara dengan kelulusannya.
“Saya seorang yang berterus terang dan tegas dalam melakukan sesuatu. Jika anda tidak mampu buat kerja dengan baik, beri peluang kepada orang lain,’’ katanya.
King Sing turut memberitahu, negara tidak ada masa untuk berlengah dan berkompromi dengan apa jua perkara yang tidak memberikan manfaat kepada negara.
Beliau meminta supaya naratif tidak tepat berhubung isu itu dihentikan terutama yang berkait dengan isu perkauman.
Terdahulu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata meskipun keputusan terletak di tangan Menteri, namun menurunkan pangkat Ammar sebagai tidak wajar kerana ia dibuat secara mengejut atau mengeluarkan notis dalam tempoh singkat. – 24 Februari, 2024