Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Kanak-kanak 13 tahun pandu kereta, polis buka kertas siasatan | Scoop

Kanak-kanak 13 tahun pandu kereta, polis buka kertas siasatan

Menerusi gambar tular memaparkan kejadian terbabit yang dilaporkan di Taman Daya, Johor, kelihatan kanak-kanak itu memandu kenderaan, dengan seorang lelaki dewasa duduk di sebelahnya

12:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak di bawah umur memandu kereta di jalan raya awam, sebelum gambar insiden terbabit tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana wujud unsur pengabaian dan pendedahan kanak-kanak kepada kecederaan fizikal.

“Pada 23 Februari 2024, jam kira-kira 12 tengah hari, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerima maklumat satu gambar yang ditularkan di Facebook, memaparkan kejadian seorang kanak-kanak di bawah umur sedang memandu motokar di jalan raya awam dengan seorang lelaki dewasa duduk di sebelah tempat penumpang.

“Hasil siasatan yang dijalankan IPD Johor Bahru Selatan mengesahkan kejadian terbabit berlaku pada 18 Februari 2024 jam kira-kira 5.30 petang di kawasan taman permainan Taman Daya, Johor Bahru,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, semasa kejadian, suspek yang berusia 25 tahun membenarkan kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun itu, memandu kereta terbabit.

“Ia dengan tujuan mengajar kanak-kanak terbabit memandu kereta.

“Suspek adalah anak kepada pengasuh kanak-kanak terbabit,” katanya.

Raub berkata, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum denda RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Suspek juga, katanya, dikenakan tindakan saman atas kesalahan Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Dia juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya kerana membenarkan kanak-kanak di bawah umur, memandu motokar tersebut.

“Kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian jenayah, boleh menghubungi terus di talian hotline IPD Johor Bahru Selatan menerusi talian 07-2182323,” katanya.

Terdahulu, tular gambar dikongsikan seorang pengguna akaun media sosial memaparkan seorang kanak-kanak duduk di bahagian pemandu dan memandu kenderaan jenis Alza.

Di bahagian tempat duduk penumpang hadapan, kelihatan seorang lelaki dewasa.

Menerusi keterangan di gambar berkenaan, pengguna media sosial terbabit memaklumkan bahawa kejadian terbabit berlaku di Johor Bahru, sambil mempersoalkan adalah lelaki dewasan itu adalah ayah kanak-kanak terbabit dan meluahkan perasaan marah.

Rata-rata netizen turut mempersoalkan tindakan lelaki dewasa terbabit dan menyifatkan ia sangat tidak wajar. – 24 Februari, 2024.

Topics

 

Hangat

Related