KUALA LUMPUR — Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bersetuju untuk mempertimbangkan semula penawaran harga Beras Putih Import (BPI) dalam pasaran domestik supaya BPI boleh dijual pada harga lebih rendah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekali gus ia mewujudkan alternatif kepada rakyat untuk mendapatkan beras dengan harga yang lebih berpatutan.
Malah, katanya rakyat juga terkesan dengan kenaikan harga BPI di pasaran global berikutan larangan eksport yang dikenakan oleh negara pengeluar beras.
“Saya turut menyinggung kepentingan mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan keberadaan beras di pasaran dan tiada pemborong atau pengilang mengaut keuntungan berlebihan atau bertindak mencampurkan kandungan BPT dan BPI untuk dijual dengan harga yang tinggi,’’ katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) 2024 hari ini.
Sebelum ini timbul kekeliruan berhubung cadangan Beras Putih Malaysia Madani apabila Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Naccol, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan beras itu dijual pada harga RM30 dengan berat 10kg sekampit dan dijangka berada di pasaran mulai 1 Mac.
Bagaimanapun Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan kerajaan belum ada ketetapan berhubung cadangan tersebut.
Mengulas lanjut, Anwar berkata beberapa wakil industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya yang mewakili pesawah dan pengilang turut menyuarakan cadangan serta pandangan berhubung situasi padi dan beras negara, khususnya bagi memastikan ketersediaan beras pada harga yang munasabah kepada rakyat.
“Selepas mendengar dan mengambil kira semua pandangan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengetuai dan menyelaras sesi libat urus secara lebih terperinci sesegera mungkin.
“Libat urus ini perlu mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna,’’ katanya.
Anwar turut mengarahkan hasil libat urus ini dibentang dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Naccol pada 20 Mac ini sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.
Dalam tempoh sama, beliau mengarahkan program jualan murah termasuk Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani diperbanyakkan supaya barangan keperluan harian dapat dijual lebih rendah dari harga pasaran. – 23 Februari, 2024