KUALA LUMPUR – Umat Islam dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan ‘perang saraf’ yang bergerak secara halus melalui penularan ideologi Barat seperti fahaman sekularisme, liberalisme, pluralisme dan hedonism.
Menerusi khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, fahaman itu semakin berkembang ke seluruh pelusuk dunia melalui jarum halus beracun yang dimasukkan perlahan-lahan dalam urusan kehidupan manusia.
“Perkembangan ideologi dan fahaman Barat ini begitu meresahkan kerana kita dapat melihat perubahan yang sangat ketara terhadap cara hidup masyarakat Melayu dan umat Islam hari ini, terutamanya yang telah pun diracuni sedikit demi sedikit dengan fahaman ini.
“Serangan ideologi ini juga menyebabkan manusia semakin ketandusan akhlak mulia dan nilai pekerti sama ada terhadap ibu bapa, ahli keluarga, guru, rakan-rakan dan masyarakat umumnya,” katanya.
Menurutnya, fahaman tersebut menyerang masuk melalui pelbagai cara seperti drama, filem, media sosial, sukan dan lagu.
Malah, katanya, ada sebahagian filem dan karya seni yang dihasilkan pada hari ini semakin berani menyinggung kesucian Islam dan mempersendakan ajaran dibawa oleh Rasulullah SAW.
“Ia nampak kecil pada zahirnya atas alasan sekadar hiburan, namun hakikatnya ia memakan kesan yang sangat besar terhadap pemikiran dan cara hidup masyarakat terutamanya pada golongan muda,” katanya.
Malah, teks khutbah Jumaat itu turut mendedahkan, fahaman tersebut ada sebahagiannya masuk melalui persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Mereka cukup lantang mempersoalkan dan mencabar hukum-hakam Islam malah mentafsir ajaran Islam mengikut logik akal mereka sendiri,” katanya.
Sementara itu, khutbah Jumat Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) pula mengingatkan umat Islam mengenai keistimewaan dan kemuliaan bulan Syaaban yang tidak begitu diberi perhatian.
Menurutnya, kedatangan Syaaban tidak diraikan dengan penuh kesyukuran kerana ada yang lalai dalam merebut ganjaran serta kelebihan yang Allah sediakan sepanjang bulan ini.
“Mereka tidak mengambil kesempatan untuk beramal ibadah sebanyak mungkin seperti dalam bulan Ramadan. Bulan Syaaban terselindung di antara dua bulan yang penting.
“Dua bulan tersebut adalah bulan haram iaitu Rejab dan Ramadan. Kelebihan yang ada pada kedua-dua bulan tersebut menyebabkan ramai berlumba-lumba membuat amal kebaikan sehingga mengabaikan bulan Syaaban,” katanya.
Katanya lagi, amal kebaikan harus dilipatgandakan pada bulan Syaaban sebagaimana diamalkan Rasulullah terutamanya puasa sunat yang menjadi sebahagian daripada persiapan menghadapi Ramadan.
“Rebutlah peluang keemasan yang terhampar pada bulan Syaaban untuk meraih keampunan dan keredaan Ilahi kerana Allah sentiasa memberi keampunan kepada hamba-Nya yang bertaubat sepanjang Syaaban,” katanya. – 23 Februari, 2024