KUALA LUMPUR — Tidak semua penerbit drama dan filem tempatan mengetahui bahawa mereka perlu mendapatkan Lesen Hiburan Awam Kanak-Kanak dan Orang Muda sebelum menggajikan pelakon kanak-kanak dan orang muda.
Bagaimanapun mereka menyambut baik langkah berkenaan bagi memastikan kebajikan pelakon kanak-kanak terpelihara.
Salah seorang penerbit dan pengarah drama yang dihubungi Scoop, Shuhaimi Lua Abdullah, 48, berkata walaupun baru pertama kali mendengar mengenai lesen tersebut, namun beliau mengalu-alukannya dan akan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Shuhaimi yang sudah lebih 10 tahun mengasaskan rumah produksi Tanah Beris Film Production juga berharap pihak penguatkuasa akan lebih giat memantau pihak produksi yang menggunakan khidmat pelakon kanak-kanak agar kebajikan mereka menjadi keutamaan ketika di set penggambaran.
“Sebenarnya ini baru pertama kali saya mendengar tentang kewujudan lesen tersebut. Bagaimanapun, saya menyambut langkah ini dan akan ikut peraturan yang telah ditetapkan sekiranya ingin menggunakan khidmat pelakon kanak-kanak selepas ini.
“Cumanya saya berharap selepas ini, pihak penguatkuasa pun mainkan peranan dengan buat pemantauan dengan lebih kerap ke set-set penggambaran untuk memeriksa sama ada syarikat produksi itu mematuhi peraturan dengan mendapatkan Lesen Hiburan Awam Kanak-Kanak dan Orang Muda sebelum menggajikan mana-mana pelakon cilik dalam naskhah terbitan mereka.
“Dengan penguatkuasaan yang ketat, sudah pastinya syarikat produksi tidak akan culas untuk mengikut segala peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan kira-kira 73.13% syarikat yang terlibat dalam filem atau drama tidak tahu mengenai keperluan mendapatkan Lesen Hiburan Awam Kanak-Kanak dan Orang Muda sebelum mengajikan mereka.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata kajian mengenai penggajian pelakon kanak-kanak dan orang muda dalam filem dan drama di Semenanjung Malaysia juga mendapati 52.9% syarikat tidak pernah memohon Lesen Hiburan Awam Kanak-kanak dan Orang Muda, dan 47.1 peratus tidak pasti berkenaan dengan permohonan lesen itu.
Sementara itu, pengurus yang juga ibu kepada pelakon Qistina Raisah Mohd Kamarol Azri, 16, iaitu Roszana Aminuddin berkata permohonan lesen itu tidak sepatutnya dijadikan isu.
Sebaliknya, Roszana berkata yang penting buat seorang pelakon kanak-kanak ialah kebajikan ketika di set penggambaran sentiasa terjaga selain pihak produksi menyelesaikan bayaran perkhidmatan seperti yang telah dipersetujui.
“Anak saya, Qistina mula menceburi bidang seni lakon sejak dia berusia tiga tahun lagi dan ini merupakan pertama kali saya mendengar tentang lesen yang perlu dimohon syarikat produksi sekiranya ingin menggunakan khidmat pelakon kanak kanak-kanak.
“Bagi saya, perkara ini tidak menjadi isu asalkan kebajikan serta keselamatan pelakon kanak-kanak dan orang muda seperti anak saya sentiasa terjaga dan produksi membayar gaji mereka mengikut perjanjian yang telah dipersetujui,” katanya.
Berkongsi mengenai tanggapan sesetengah pihak yang beranggapan ibu bapa dan penjaga pelakon kanak-kanak seolah-olah mempergunakan anak masing-masing sejak usia muda, Roszana berkata orang lain tidak sepatutnya mempersoalkan rezeki yang dikurniakan Allah terhadap seseorang individu itu.
Menurut Roszana, dia tidak melihat penglibatan Qistina yang bekerja sejak dari kecil sebagai sesuatu yang negatif kerana segala keperluan akademik anaknya tetap terjaga biarpun sibuk dengan kerja-kerja penggambaran drama atau filem.
“Kita tidak boleh terlalu mempertikaikan rezeki orang malah ia merupakan rezeki dia (Qistina) untuk membantu keluarga.
“Bukan kita suruh anak berlakon sampai terabai masa depan. Sebagai ibu, saya memang dah atur masa depan anak dan sekarang ini pun dia ‘homeschooling’, yang mana lebih fleksibel dengan jadual kerjanya.
“Malah, segala hasil pendapatan Qistina, saya selalu ingatkan masukkan dalam KWSP (Kumpulan Simpanan Wang Pekerja). Kalau bayaran yang dia dapat untuk sesuatu projek itu lebih banyak daripada biasa, saya akan suruh dia lebihkan sedikit menyimpan dalam KWSP, semua ini demi jaminan masa depan dia sendiri juga,” katanya.
Sebagai info, Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 [Akta 350] mentakrifkan kanak-kanak adalah mereka yang berusia di bawah 15 tahun manakala kelompok orang muda adalah mereka yang berusia 15 tahun ke atas tetapi belum mencapai 18 tahun.
Di bawah akta itu, kanak-kanak antaranya dibenarkan terlibat dalam pekerjaan seperti kerja ringan bersesuaian dengan keupayaan dalam perusahaan keluarganya dan hiburan awam (berdasarkan lesen yang diluluskan).
Di bawah Akta 350 juga menyatakan tempoh masa bekerja dalam hiburan awam ditetapkan dalam Lesen Hiburan Awam yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah di bawah Seksyen 7. – 23 Februari, 2024