KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa meluncurkan kluster Puji@WP atau Program Usaha Jaya Ihsan bagi menandakan komitmen kerajaan untuk meningkatkan darjat hidup rakyat di Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata, ini termasuklah usaha membasmi kemiskinan tegar dan memperkasakan warganya melalui program yang memberi fokus kepada penjanaan pendapatan, pembangunan usahawan, perlindungan sosial, pendidikan kesihatan dan infrastruktur asas.
“Puji atau Program Usaha Jaya Ihsan merupakan jenama atau ‘signature programme’ yang akan menjadi patung kepada pelaksanaan inisiatif peningkatan darjat hidup rakyat.
“Dalam usaha untuk kita memperkasakan pembangunan secara lebih pesat dan holisitik di Wilayah Persekutuan, pembangunan sosial dan sosiol ekonomi perlulah seriingi dan memenuhi ekosistem kehidupan warganya,” katanya ketika berucap pada Majlis Aspirasi 2024: Bersama Memacu Wilayah Persekutuan Sejahtera di sini, hari ini.
Menurutnya, terdapat enam inisiatif utama dalam kluster Puji@WP iaitu Upaya@Puji, Ihsan@Puji, Lindung@Puji, Ilmu@Puji, Sihat@Puji dan Infra@Puji.
“Melalui Upaya@Puji, inisiatif ini akan memayungi program-program pendayaupayaan ketua isi rumah atau ahli isi rumah yang masih produktif dengan menyediakan latihan dan kemahiran serta peluang pekerjaan untuk meningkatkan pendapatan.
“Inisiatif kedua, Ihsan@Puji, ini akan mengumpulkan segala bantuan diperuntukkan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun pihak swasta untuk membantu meningkatkan pendapatan isi rumah. Dengan cara ini, kita dapat mengurangkan kos sara hidup,” katanya.
Dr Zaliha berkata, menerusi Lindung@Puji, inisiatif itu mensasarkan pewujudan skim caruman atau insurans sosial kepada ketua isi rumah bagi menyediakan perlindungan kepada kumpulan berisiko tinggi.
“Inisiatif keempat pula iaitu Ilmu@Puji. Melalui inisiatif ini, pelajar di Wilayah Persekutuan yang berada dalam kategori B40 berpeluang mendapat akses pendidikan tambahan secara percuma.
“Inisiatif kelima iaitu Sihat@Puji membolehkan rakyat mendapatkan perkhidmatan kesihatan berkualiti dan kesedaran tentang gaya hidup sihat.
“Menerusi insiatif keenam, Infra@Puji, akan memberi peluang untuk akses kepada infrastruktur asas bagi menjamin kesejahtera hidup khususnya penduduk di Labuan,” katanya.
Jelas beliau lagi, Puji juga adalah usaha untuk menyelaraskan segala bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan kepada warga Wilayah Persekutuan khususnya mereka yang berada dalam kategori B40.
Dr Zaliha berkata, apabila dirangkumkan kesemua bantuan itu, ia diharap dalam menyelaraskan isu kemiskinan di Wilayah Persekutuan.
“Justeru, pada penghujung tahun ini, saya menyasarkan isu miskin tegar dan miskin bandar ini Insya-Allah dapat kita tangani dengan ‘Exit Programme’ seperti Puji@WP.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada 28 rakan strategik yang terlibat dalam melaksanakan inisiatif Puji ini. Ia juga satu pendekatan ‘whole of nation’ yang cuba kita bawa untuk kita selesaikan,” katanya.
Pada masa sama, Dr Zaliha yakin apa sahaja usaha, dasar dan penyelesaian dirancang dapat dilaksanakan dengan tetap dan berkesan apabila disokong data yang berintegriti.
Susulan itu, beliau mahu kesemua data termasuk dasar yang ada, baik di JWP mahupun agensi-agensi lain dipusatkan pada satu pusat data yang besar.
“Sehubungan itu saya berikan tempohlah sehingga suku kedua tahun ini, pihak JWP boleh menyelaraskan pemusatan kepada semua data ini. InsyaAllah saya sendiri akan memantau dari semasa ke semasa, semoga hasrat ini kita dapat laksanakan.
“Cuba bayangkan jika Wilayah Persekutuan ada satu pusat data raya (big data centre), yang mana pemusatan data memampukan kita melakukan analisis yang tepat dan akhirnya membolehkan kita mendatangkan dasar yang menepati keperluan kumpulan sasar.
“Baik penduduk miskin tegar, miskin bandar, kumpulan B40, pemain-pemain industri dan peniaga kecil. Jadi saya yakin di Putrajaya dah ada, DBKL pun dah ada. Cuma kita nak pusatkan jadikan satu pusat data yang besar, Insya-Allah,” katanya. – 22 Februari, 2024