KUALA LUMPUR – Polis menahan lima lelaki kerana disyaki memukul seorang pemandu kereta sehingga mati, selepas mangsa terbabit kemalangan dengan penghantar makanan dalam kejadian di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, semalam.
Difahamkan, selepas kemalangan, mangsa berusia 42 tahun itu dikejar orang awam hingga ke Taman Pelangi Semenyih 2 dekat Kajang, sebelum keretanya terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 9.20 malam mengenai kemalangan di kawasan itu.
Beliau memaklumkan, siasatan awal mendapati Proton Saga berwarna kelabu itu dipercayai terbabas dan melanggar pagar kawasan perumahan, manakala mangsa terbaring di atas jalan dengan kesan pergelangan tangan seperti diikat.
“Pihak ambulans yang hadir mengesahkan mangsa meninggal dunia dan siasatan turut dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zaid berkata, berdasarkan maklumat, terdapat saksi di kawasan perumahan memaklumkan melihat mangsa yang terbabas, ditarik keluar daripada kereta oleh sekumpulan lelaki dan dipukul.
“Kemudian, tangan mangsa diikat sambil terbaring di tengah jalan berhampiran kenderaan, namun apabila kenderaan Peronda Polis (MPV) tiba, semua individu di lokasi mulai beredar,” katanya.
Menurutnya, beberapa sampel darah, termasuk kesan cap jari diambil pasukan forensik Bukit Aman dan dua utas gumpalan tali warna hijau/coklat di turut dirampas untuk siasatan lanjut.
“Bertindak atas maklumat dan siasatan, polis menahan lima lelaki berusia 25 hingga 52 tahun pada 2.05 pagi tadi di sekitar Semenyih dan Beranang.
“Semua tangkapan direman lima hari sehingga 25 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau berkata, bedah siasat ke atas mayat mangsa dijalankan di Hospital Serdang hari ini dan setakat ini, kejadian dipercayai berpunca daripada kemalangan pertama yang berlaku berdekatan tempat kejadian.
Katanya, mangsa melarikan diri dan dikejar orang awam, tetapi sehingga kini tiada pihak tampil membuat laporan mengenai kemalangan pertama.
Orang ramai yang mempunyai maklumat, ujarnya, boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Redzuan Mat Salleh di talian 013-7854100 (Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang) dan Inspektor Ammar Tahir dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di talian 018-2194013. – 21 Februari, 2024