Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Penghormatan terakhir untuk Taib Mahmud: Keluarga, rakan berkumpul di Masjid Negara | Scoop

Penghormatan terakhir untuk Taib Mahmud: Keluarga, rakan berkumpul di Masjid Negara

Keranda beliau yang dilitupi Jalur Gemilang dibawa masuk ke ruang dalam masjid, sebagai simbolik penghormatan atas jasa dan khidmatnya kepada negara

11:59 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli keluarga, rakan dan tokoh masyarakat memenuhi Masjid Negara di sini untuk memberi penghormatan terakhir kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia awal pagi ini.

Beberapa ahli keluarga Taib mula berkumpul di masjid seawal 7.30 pagi ketika menunggu jenazahnya tiba dari hospital pakar jantung, Cardiac Vascular Sentral (CVS) di sini, tempat beliau menerima rawatan.

Pada kira-kira jam 9 pagi, terdengar bunyi siren kenderaan tentera dan polis yang mengiringi van jenazah Taib tiba di masjid berkenaan.

Jenazah itu diiringi isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib dan anak perempuan Taib, Datuk Hanifah Hajar yang juga Timbalan Menteri Ekonomi.

Suasana di Masjid Negara sejurus selepas jenazah tiba dari hospital. Kelihatan dalam gambar, Toh Puan Raghad Kurdi Taib (kanan) dan Datuk Hanifah Hajar (dua dari kiri) – Abdul Razak Latif/Scoop, 21 Februari, 2024

Keranda membawa jenazah Taib dilitupi Jalur Gemilang dan kemudian ditempatkan di ruang solat dalam masjid untuk disembahyangkan.

Raghad mengenakan baju kurung putih berlabuci dan selendang sepadan, manakala Hanifah tampil berbeza apabila beliau memakai hoodie kuning air dan seluar.

Kedua-dua anak lelaki Taib, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib dan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib, turut berada di masjid.

Sulaiman dan Mahmud adalah anak daripada perkahwinan Taib dengan isteri pertamanya, Laila Taib.

Kedua-dua mereka yang berpakaian putih, kelihatan sibuk menyambut tetamu.

Di dewan utama masjid itu, kedua-dua anak lelaki Taib itu berdiri berjauhan daripada ibu tiri mereka, Raghad yang disaman mereka berhubung pemindahan saham Cahya Mata Sarawak Bhd.

Mereka berada di satu sudut yang lebih dekat dengan pelawat, sementara Raghad duduk di sudut lain dewan, lebih jauh daripada orang ramai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang sebelum itu melawat jenazah Taib di CVS, turut ke masjid.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid turut dilihat memasuki kawasan solat sebentar tadi.

Tokoh-tokoh terkenal yang berada di saf pertama solat jenazah Tun Abdul Taib Mahmud (dari tengah ke kiri) Timbalan KPN, Datuk Seri Ayob Khan, Tan Sri Annuar Musa, ahli keluarga Taib termasuk anaknya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib dan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib, Datuk Seri Fadillah Yusof, KPN Tan Sri Razarudin Husain serta Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan. – Abdul Razak Latif/Scoop, 21 Februari, 2024

Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng meluahkan kesedihannya terhadap pemergian Taib, sambil menyatakan bahawa negarawan itu menjadi mentor penting sepanjang karier politiknya.

“Saya akan sentiasa mengingati beliau (Taib) sebagai mentor saya yang memberi saya setiap peluang (yang beliau boleh) dan nasihat baiknya tidak pernah kurang.

“Saya terhutang budi kepada beliau. Beliau satu-satunya ahli politik yang saya tahu akan melaksanakan apa beliau katakan dan menyampaikan setiap dasar dibuatnya. Tidak ada seorang pun dalam ingatan hidup yang saya anggap sama (seperti beliau).

Selesai urusan di masjid itu, jenazah Taib akan dibawa ke Lapangan Terbang Subang untuk diterbangkan ke Sarawak bagi penghormatan peringkat negeri, sebelum disemadikan.

Keranda Taib Mahmud dilitupi Jalur Gemilang diletakkan di Ruang Syarahan Masjid Negara selepas solat jenazah – Abdul Razak Latif/Scoop, 21 Februari, 2024

Kerajaan negeri mengisytiharkan tempoh berkabung selama dua hari bermula hari ini di mana bendera di seluruh Sarawak akan dikibarkan separuh tiang, manakala orang ramai boleh memberi penghormatan esok di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching.

Sebelum pemergiannya pada jam 4.40 pagi tadi, keadaan kesihatan Taib menjadi subjek spekulasi dan drama sejak beberapa bulan lalu, dengan laporan polis dibuat ke atas Raghad atas tuduhan beliau melarikan suaminya dari Sarawak.

Semalam, Raghad berkata, Taib sedang dalam proses pemulihan di hospital selepas gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat seorang individu di hospital itu yang didakwa sebagai Taib, tular.

Raghad juga terbabit dalam pertikaian undang-undang dengan anak tirinya, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib dan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib, berhubung pemindahan saham Cahya Mata Sarawak Bhd kepada dirinya. – 21 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Related