KUALA LUMPUR – Sikap segelintir anak muda mengejar populariti di media sosial ketika ini amat membimbangkan, berkemungkinan mendorong kepada tindakan dan perilaku ekstrem.
Bercakap kepada Scoop, Pakar Psikologi, Prof. Mariani Md Nor berkata, jika tidak dikawal dan dipantau, ia dikhuatiri boleh membawa kepada aksi yang membahayakan individu itu sendiri mahupun orang sekeliling.
Mengambil contoh kejadian baru-baru ini melibatkan kes membakar kereta peronda polis bantuan, katanya, ia dilakukan semata-mata untuk mendapatkan ‘like’ (tanda suka) dan ‘share’ (perkongsian) di media sosial.
“Tabiat ini perlu diambil berat oleh rakan dan keluarga individu itu, ini kerana orang muda sekarang bersaing untuk melakukan konten yang makin melampau. Contohnya, seorang pereka konten mungkin sanggup terjun dari bukit dan membahayakan diri semata-mata untuk mendapat ‘like’ dan ‘share’,” katanya,
Beliau mengulas kejadian Khamis lalu, di mana seorang pekerja p-hailing bertindak membakar sebuah kereta polis bantuan dan memuat naik video kejadian tersebut bagi mendapatkan perhatian di aplikasi TikTok.
Mariani berkata, anak muda zaman sekarang semakin mengejar rating di media sosial disebabkan oleh tekanan untuk mendapatkan perhatian dan pengiktirafan dalam masyarakat yang semakin terhubung secara digital.
“Mereka yang sanggup berbuat aksi sebegini mempunyai keperluan pengiktirafan dan penghargaan daripada orang sekeliling yang tinggi.
“Selain itu, ada juga yang ingin membuktikan kebolehan dirinya dan menunjukkan dirinya hebat,” katanya.
Pakar psikologi kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad pula berkata, peranan keluarga sangat penting dalam menghalang gejala ini.
“Ahli keluarga perlu memberikan arahan moral, pengawasan dan sokongan emosional kepada anak-anak mereka dalam menggunakan media sosial dengan bertanggungjawab,” tegasnya.
Selain itu beliau mencadangkan pihak kerajaan mengambil pelbagai langkah termasuk menyediakan pendidikan kesedaran digital yang melibatkan isu-isu seperti kesan negatif mencari perhatian di media sosial.
“Ia juga penting bagi kerajaan untuk menyediakan program sokongan psikologi bagi membantu individu yang mungkin terjebak dalam tekanan untuk mendapatkan perhatian dalam media sosial,” katanya.
Beliau berkata, pihak yang bertanggungjawab perlu menguatkuasakan undang-undang yang menangani tindakan ekstrem yang dilakukan demi mendapatkan rating di media sosial.
Pendakwah bebas, Muzayyanah Abdullah berkata, individu yang bertindak sebegitu tidak mengamalkan ajaran agama yang baik.
Katanya, mereka yang melakukan ‘aksi terlarang’ di media sosial adalah mereka yang membuat perbuatan berdasarkan emosi dan nafsu. – 21 Februari, 2024