KUALA LUMPUR — Industri perbankan negara digesa untuk kekal berdaya saing menangani keserentakan fenomena tiga C – complexity, chaos and contradictions atau kerumitan, kehuru-haraan dan percanggahan di zaman pasca-normal hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, memandangkan industri kewangan memainkan peranan penting untuk menyokong ekonomi negara, bank-bank perlu mempunyai kudrat tinggi agar kekal berdaya tahan dengan fenomena tiga C ini.
“Lebih penting, industri perbankan harus ada sifat manusiawi serta ihsan dengan melindungi rakyat daripada peredaran deras dibawa oleh fenomena tersebut,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis peluncuran Program Memperkasakan Rakyat myimpact SME Hub anjuran Malayan Banking Bhd (Maybank) di sini, hari ini.
Pada masa masa, beliau turut mengingatkan industri perbankan bahawa mereka perlu menggalas tanggungjawab untuk bersama kerajaan menjayakan reformasi ekonomi diketengahkan dalam Ekonomi Madani.
Katanya, kerangka ini berhasrat untuk membawa transformasi ekonomi dengan menjulang nilai ekonomi dalam rantaian bekalan dunia serta menambah baik kemampanan ekonomi negara.
“Kerangka ini menumpu kepada tiga industri untuk menangkat darjat negara iaitu peralihan tenaga, keterjaminan makanan dan transformasi perindustrian dan pembuatan.
“Namun, bagi memastikan kesaksamaan kekayaan dapat ditegakkan, Ekonomi Madani menekankan keperluan membawa sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk turut serta dalam industri tersebut,” katanya. – 19 Februari, 2024