Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Hati-hati kongsi konten, usah jadi hamba media sosial: Fahmi Fadzil | Scoop

Hati-hati kongsi konten, usah jadi hamba media sosial: Fahmi Fadzil

Fahmi juga memberitahu ramai tidak sedar media sosial sebetulnya membuat duit daripada data, konten, idea serta kreativiti kita

5:26 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berharap masyarakat terutama golongan generasi muda akan lebih berhati-hati apabila berkongsi apa sahaja konten yang dimuat naik mereka di platform media sosial (medsos).

Bahkan Fahmi berkata, ramai yang tidak sedar bahawa dalam dunia digital, kebanyakan syarikat yang mengendalikan media sosial sebetulnya membuat duit melalui data, konten, idea serta kreativiti pengguna media sosial.

“Sebelum saya terjun bidang politik, saya terlibat dalam bidang seni persembahan teater. Bidang teater ini adalah satu ruang untuk kita berkomunikasi dengan penonton hanya pada masa itu. Macam mana kita tengok ia di depan mata kita, macam itulah dia.

“Sekarang ini, bila orang tengok konsert, orang merungut. Nak tengok konsert atau nak tengok telefon hingga kita tidak sedar kita sudah menjadi hamba telefon. Kita lupa untuk enjoy dengan momen yang ada pada ketika itu.

“Adakalanya, kita kena ingat dua perkara. Pertama, usah jadi hamba abdi kepada media sosial. Kedua, media sosial ini sebetulnya adalah cara untuk syarikat membuat duit daripada data kita.

“Sebagai Menteri Komunikasi, saya kena bagi pesanan ini, sebenarnya semua media sosial membuat duit daripada konten kita, idea kita dan kreativiti kita. Ada yang sebahagiannya yang membuat duit daripada media sosial tetapi pada waktu yang sama kita perlu mengorbankan ‘privacy’ hidup kita,” katanya.

Fahmi berkata demikian pada siaran langsung temu bual episod pertama Ini Kopi Kita: Sembang Anak Malaysia yang membincangkan mengenai topik FOMO (Fear Of Missing Out) dalam landskap digital di negara ini bersama aktres Nur Fazura.

Mengulas mengenai tindakan golongan muda yang mudah terpengaruh dengan konten-konten pempengaruh sehingga mencetuskan FOMO di kalangan mereka, Fahmi berkata, kadangkala masyarakat lupa orang hasilkan konten, ia adalah suatu bahan mini produksi.

“Konten-konten seperti ini mempunyai sudut kamera tertentu, mesti dibuat suntingan, mesti tonjolkan karakter atau gaya hidup tertentu yang sudah ditentukan.

“Bagi saya sebenarnya kita perlu ambil peluang untuk bermuhasabah. Konten adalah konten. Ia bukan mewakili gambaran hidup sebenar. Bila kita tonton sesebuah konten, itu adalah dari sudut pandang orang yang membuatnya.

“Yang penting, kita kena tahu sudut pandang kita. Jangan mudah terikut-ikut dengan apa yang dimuat naik pempengaruh. Jadi, kita kena tahu, seseorang pempengaruh itu buat apa sebenarnya dengan konten dia. Kalau sekadar suka-suka, tidak apa.

“Tapi kalau terikut-ikut tanpa tahu niat sebenar dan ia berada di  bawah sedar,  itu sudah dikira bahaya. Sebab kita kena hati-hati kerana pada zaman digital ini, terlalu ramai scammer atau orang yang menyamar,” katanya.

Fahmi juga berharap golongan muda tidak terlalu obses dengan media sosial semata-mata kerana gejala FOMO ini.

“FOMO ini ada baik dan buruknya. Sekadar untuk tahu perkembangan bagi saya tidak apa. Tapi, kalau terlalu obses hingga mahu ambil tahu segalanya dengan melampau dan terlalu sangat, bagi saya itu agak terlebih,” katanya lagi. – 19 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Related