Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Penghantar makanan mengaku tidak bersalah bakar kereta polis bantuan | Scoop

Penghantar makanan mengaku tidak bersalah bakar kereta polis bantuan

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan

4:49 PM MYT

 

PETALING JAYA – Seorang penghantar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar kereta polis bantuan di sebuah Stesen Transit Aliran Massa (MRT), minggu lepas.

Mohamad Hasif Syazani Zulkifle, 26, didakwa membakar kereta Proton Preve berwarna putih milik polis bantuan Prasarana di Stesen MRT Mutiara Damansara di sini pada 1.17 pagi, 15 Feb lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Peguam Kailash Sharma, yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan tiada risiko melarikan diri.

Hakim Dr Syahliza Warnoh membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 21 Mac untuk sebutan kes.

Di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad, lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan khianat dengan menconteng dinding di stesen MRT itu pada 1.10 pagi, tarikh sama, mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang berdepan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan bersalah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan sama seperti di Mahkamah Sesyen dan menetapkan tarikh sama (21 Mac) untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Khairun Nisa Noor Harun manakala Mohamad Hasif diwakili peguam sama. – 19 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Related