KUALA LUMPUR – Pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.
Perkara itu ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan ia akan dilakukan selepas sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan di setiap negeri selesai.
Malah pihaknya akan membawa semula cadangan pindaan Rang Undang-Undang Akta 355 (RUU355) kepada Kabinet dan dibincangkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengundang semua majlis agama Islam, Mahkamah Syariah dan jabatan agama Islam negeri untuk memberikan pandangan masing-masing (dalam sesi libat urus).
“Kita akan bawa semula cadangan pindaan ini kepada Kabinet untuk keputusan dasar sebelum dibawa ke Parlimen (tahun ini),” katanya kepada media selepas menghadiri majlis perasmian Program Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini hari ini.
Perasmian itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Na’im menambah, pihaknya difahamkan sesi libat urus itu berada di peringkat akhir namuan laporan mengenainya belum disediakan.
“Insya-Allah kita akan berbincang dengan Perdana Menteri selepas itu,” katanya.
RUU355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa menghukum bagi Mahkamah Syariah untuk kesalahan jenayah syariah, tanpa melibatkan masyarakat bukan Islam.
Isu pindaan Perlembagaan timbul berikutan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini mengisytihar 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai terbatal dan tidak sah dikuatkuasakan di negeri itu.
Semalam, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary dalam kenyataannya berkata, PAS kini meletakkan harapan kepada Umno untuk merealisasikan penggubalan RUU355 memandangkan parti itu bukan lagi berada dalam pentadbiran kerajaan.
Sehubungan itu, PAS mahu Umno meneruskan usaha tersebut dengan mengguna pakai draf yang disiapkan oleh parti itu sebelum ini.
Ahmad Marzuk yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, ini bagi memastikan proses penggubalan undang-undang tidak perlu bermula daripada peringkat awal.
Tambah beliau, isu bidang kuasa Mahkamah Syariah dikaji secara komprehensif dan draf RUU355 sudah lengkap walaupun negara diuji pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan politik.
Dalam pada itu, Na’im ketika ditanya mengenai kritikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa negara hilang integriti kerana mengekalkan undang-undang penjajah berkata, semua pihak perlu menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Ia mengenai titah baginda supaya semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara serta perlu sentiasa didukungi rakyat Malaysia.
Baginda bertitah, Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam yang ditubuhkan Ogos tahun lalu sedang meneliti isu berbangkit mengenai keputusan kes peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid. – 18 Februari, 2024