KUALA LUMPUR – Pasukan misi kemanusiaan Ops Ihsan mengesahkan kesahihan surat diterima dari Kementerian Luar memaklumkan tiga individu daripada tiga badan bukan kerajaan (NGO) Islam disenaraikan dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas (TCS) oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari ketika dihubungi Scoop mengesahkan surat daripada Kementerian Luar bahagian Asia Barat itu diterima menerusi e-mel pada 15 Februari lalu.
Beliau bagaimanapun menegaskan ketiga-tiga individu yang dinamakan itu tidak terbabit secara langsung dalam misi operasi mereka.
“Surat itu pemakluman bahawa tiga individu berkenaan dalam senarai TSC oleh FBI, untuk pemakluman sahaja. Surat itu memang sahih, namun tidak menyangka dokumen berkenaan dibocorkan dan ditularkan di media sosial.
“Agak mengecewakan kita dalam proses bersidang untuk membincangkan perkara dalam surat itu, tapi ia sudah ditularkan. Tidak tahulah siapa yang membocorkan surat itu,” katanya.
Terdahulu, tular satu surat dikeluarkan Kementerian Luar kepada Jismi memaklumkan tiga aktivis dari tiga NGO di negara ini disenaraikan dalam TSC oleh FBI.
Tiga nama individu berkenaan adalah dari NGO Dunia Melayu Dunia Islam, Datuk Abu Bakar Abdul; Persatuan Cinta Syria, Ahmad Musa Al Nuwayri Kamaruzaman dan Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut.
Menerusi surat berkenaan juga, pihak Kementerian Luar meminta pihak Sekretariat Induk Ops Ihsan untuk mengambil tindakan sewajarnya memastikan tiga individu yang disenaraikan tidak lagi terbabit dengan Ops Ihsan.
Mengulas lanjut, Jismi berkata, ketiga-tiga individu berkenaan juga tidak terbabit secara langsung dalam Ops Ihsan, cuma organisasi mereka sahaja.
“Mereka adalah salah seorang ahli dalam NGO mereka yang menyokong inisiatif Ops Ihsan.
“Saya juga sudah dihubungi oleh wakil NGO Dunia Melayu Dunia Islam semalam memaklumkan bahawa nama individu yang tersenarai itu tidak lagi memegang jawatan dalam organisasi mereka,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak mengetahui sebab sebenar ketiga-tiga individu itu tersenarai.
“Sebab apa mereka tersenarai, itu kita tidak tahu sebab apa. Kita akan hubungi setiap individu ini untuk maklumkan nama mereka dimasukkan dalam senarai itu. Rasanya mereka juga sudah tahu sebab surat itu ditularkan.
“Kami pun masih mencari jawapan, mereka ini diletakkan dengan kumpulan mana sehingga dimasukkan dalam senarai itu.
“Namun dalam mesyuarat Ops Ihsan berkali-kali saya ingatkan kepada rakan NGO di dalam dan luar Ops Ihsan untuk lebih berhati-hati ketika berurusan dengan rakan kolaborasi dari luar negara,” katanya.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa kerana surat itu ditularkan dengan nama individu terbabit dipamerkan.
“Ia melibatkan peribadi dan juga kerahsiaan identiti, maka ia akan memberi impak kepada individu berkenaan,” katanya. – 17 Februari, 2024